Thursday, April 8, 2010

Anwar perlu kemuka saksi - Khairy

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saksi sebagai bukti bagi menguatkan tuduhannya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kononnya bekerjasama dengan perisik Israel.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, jika Anwar seorang pemimpin yang berani membuat sesuatu dakwaan, beliau juga perlu berani untuk tampil bersama pihak-pihak yang mempunyai kaitan dengan tuduhan itu.

''Kita cabar beliau buktikan perkara itu, kalau ada saksi sila bawa saksi, dan beliau juga diminta buat satu memorandum bagi menyiasat kes tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar semasa sesi perbahasan di Parlimen semalam yang sekali lagi mengaitkan penglibatan syarikat Israel dalam pengendalian projek berkaitan keselamatan dan komunikasi serta teknologi maklumat di ibu pejabat polis, Bukit Aman.

Menurut Khairy, Anwar perlu menyahut cabaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana tuduhan itu merupakan perkara yang serius.

''Kalau dakwaan itu betul, saya yakin sebelum ini telah ramai pegawai polis yang tampil kehadapan bagi menyelesaikan perkara tersebut,'' katanya.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee pula berkata, dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya berniat jahat untuk memberikan gambaran kepada dunia bahawa Malaysia menjalin hubungan sulit dengan Israel.

Katanya, Anwar berani membuat tuduhan itu di Parlimen ekoran beliau menggunakan kekebalan Ahli Parlimen untuk melindungi dirinya kerana mengemukakan kenyataan semasa sesi perbahasan.

''Jika Anwar mempunyai bukti dan fakta lengkap, sepatutnya dia melaporkan kepada polis dan bukannya membuat kenyataan semasa perbahasan di Parlimen.

''Persoalan ini perlu disiasat dan Anwar sendiri pun dikatakan mempunyai hubungan akrab dengan beberapa pemimpin dunia termasuk daripada kalangan Yahudi,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Mohd. Jamil Mohd. Hassan berkata, beliau sama sekali tidak mempercayai dakwaan Anwar itu.

Beliau berpendapat bahawa pasukan PDRM boleh beroperasi dengan cemerlang atau berdiri dengan sendiri tanpa bantuan mana-mana perisik.

''Tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar itu satu perkara yang sangat serius. Ia harus ditangani segera,'' katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP