KJ Perihatin Dan Menyokong Golongan Muda Memberi Bakti Kepada Masyarakat
Pembabitan para siswa siswi muda jurusan perubatan di UPM dalam program ini seharusnya diberi sokongan padu oleh semua pihak dan maka dengan itulah YB Khairy menyokong usaha murni mereka dengan menerima program kerjasama ini di Parlimen Rembau.
Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (HEP dan Alumni) UPM, Prof Dr Azali Mohamed dan Timbalan Dekan HEP Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Mohd Roslan Sulaiman menyaksikan sokongan yang tidak berbelah bagi dari universiti buat para siswa bagi memberikan khidmat kepada masyarakat.
Program tersebut telah dilancarkan dengan kerjasama En. Zazali Ahmad selaku penyelaras program.
Menurut YB Khairy, program ini sepatutnya diadakan di tempat lain namun disebabkan beberapa masalah teknikal, Rembau adalah alternatif terbaik. Terpilihnya Rembau sebagai destinasi program khidmat masyarakat ini amat dialu-alukan oleh YB Khairy dan penduduk kampung tersebut.
Dalam ucapan beliau, KJ menerangkan serba ringkas berkenaan Parlimen Rembau kepada para sukarelawan. KJ juga memberi galakan dan nasihat agar golongan perintis bidang perubatan tersebut dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari mereka kepada masyarakat umum dengan mengadakan program seperti ini lebih kerap dan meluas.
KJ dalam ucapannya juga memberikan penekanan yang tegas dalam usaha menjaga kesihatan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang betul kepada rakyat kampung yang hadir pada petang itu.
Selain berkisarkan kesihatan, KJ turut menerangkan hal berkaitan isu semasa seperti kenaikan harga minyak dunia dan kenapa kerajaan bertindak menaikkan harga minyak tersebut. Menurut KJ, beliau yang baru sahaja selesai menghadiri taklimat unit perancangan ekonomi negara sekali lagi diberikan penjelasan perihal isu semasa agar penjelasan yang tepat dapat diberikan kepada rakyat tanpa sebarang pebgeksploitasian fakta sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak pembangkang.
Salah satu perkara adalah berkaitan pemberian subsidi kepada rakyat. Subsidi masih lagi diberikan kepada rakyat sepertimana sediakala cuma bagi mereka yang dikategorikan sebagai golonga berkemampuan sahaja yang tidak diberikan keistimewaan subsidi. Ini adalah bagi memastikan keadilan berlaku dan negara tidak perlu menanggung terlalu banyak pengeluaran subsidi kepada golongan yang berkemampuan. Jika tiada langsung subsidi diberikan, harga minyak mampu mencapai RM3.50 seliter berbanding sekarang RM2.70 seliter.
Jika tiada pemberian subsidi, kerajaan boleh menggunakan duit yang ada itu bagi tujuan pembaikpulih infrastruktur negara dan pembinaan sekolah baru. Namun, kerajaan juga menilai kemampuan rakyatnya dan tidak mahu membebankan rakyat secara terlampau.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan Petronas tidak memberikan untungnya kepada kerajaan juga tidak tepat. Petronas telah memberikan 66 peratus untung mereka kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen royalti. Petronas juga perlu membuat pencarian telaga baru bagi menampung keperluan minyak negara dan baki keuntungan sebanyak 34 peratus itulah yang digunakan bagi menampung kesemua kos terbabit.
Tidak wajar jika ada pihak yang membangkitkan bahawa Malaysia merupakan negara pengeluar minyak namun harga petrol paling mahal. Jika hendak dibandingkan dengan Arab Saudi dan negara pengeluar uang lain, minyak simpanan mereka cukup untuk digunakan selama 100 tahun lagi dan jumlah nilai eksport mereka lebih tinggi berbanding import. Sedangkan Malaysia hanya punyai 10 tahun simpanan dan jika pencarian telaga baru tidak dilakukan, minyak akan habis.
KJ juga mengingatkan agar rakyat akan segera membuat aduan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengguna sekiranya mendapati ada pihak yang mengambil peluang yang tidak sepatutnya dengan menaikkan harga barangan keperluan lain semata-mata beralasankan kenaikan harga minyak.
Di akhir ucapan, KJ berharap agar golongan muda dan rakyat setempat tidak mudah terpedaya dengan pengeksploitasian pihak pembangkang terhadap kerajaan hanya semata-mata mahu mengeruhkan keadaan. KJ juga berdoa agar siswa siswi itu dapat belajar dengan cemerlang dan seterusnya dapat berkhidmat untuk masyarakat dan negara.
Sumber www.rembau.net.my

