Tuesday, November 30, 2010
Monday, November 29, 2010
Khairy Jamaluddin: Kepimpinan PKR Tidak Sah Dari Segi Moral
JOHOR BARU: Kehadiran tidak sampai 10 peratus anggota pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan sempena Kongres Nasional Tahunan Ketujuh Parti Keadilan Rakyat pada Jumaat menimbulkan persoalan moral, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaludin.
Ini, katanya berlaku apabila barisan kepimpinan yang dipilih tidak mewakili suara majoriti anggota parti.
"Sekiranya kepimpinan dipilih daripada sembilan peratus keahlian, maksudnya siapa yang dipilih adalah tidak sah daripada segi moral. Jadi bagaimana kita nak letakkan kewibawaan moral kepada kepimpinan PKR kalau yang keluar mengundi tidak sampai 10 peratus," katanya.
Khairy demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana anjuran Pergerakan Pemuda Umno Tebrau di Johor Baharu di sini, Sabtu.
Beliau mengulas mengenai sambutan hambar dan keadaan lengang pada kongres berkenaan yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Petaling Jaya, semalam.
Lebih 1,300 ahli parti berkenaan di Cabang Hulu Selangor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Khairy berkata perkembangan itu membuktikan parti berkenaan semakin hilang sokongan dan dilanda krisis kepimpinan yang serius. - bernama
Monday, November 8, 2010
Banjir di Kedah... PAS diminta selesaikan masalah bekalan air.
ALOR SETAR, 4 NOV - Kerajaan PAS Kedah diminta menyelesaikan segera masalah bekalan air kepada penduduk berikutan banjir di negeri itu sekarang.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata meskipun bekalan makanan dan minuman di pusat-pusat penempatan banjir di negeri itu mencukupi, terdapat kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian.
"Ada mangsa yang mengadu sudah dua tiga hari tidak dapat mandi kerana kekurangan bekalan air bersih. Malah ia menyusahkan mereka termasuk untuk memasak dan membasuh pinggan," katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus di sini Khamis.
Katanya jika kerajaan PAS Kedah tidak mampu menangani masalah berkenaan, maka mereka mesti mengakuinya agar tanggungjawab itu boleh diambil alih segera oleh kerajaan pusat.
"Ini di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, harap mereka dapat buat sesuatu sebab kita tidak tahu berapa lama lagi mangsa akan berada di pusat penempatan.
"Kalau tidak mampu mereka kena bagi tahu supaya Pusat boleh ambil alih kerana ini sudah sampai tahap krisis," katanya.
Masalah bekalan air bersih berlaku berikutan peningkatan keperluan penggunaan oleh mangsa-mangsa banjir yang semakon ramai dan ia diburukkan lagi dengan pemberhentian operasi Loji Bukit Pinang sejak dua hari lepas akibat ditenggelami air.
Khairy berkata Pemuda Umno menggerakkan inisiatif dengan membekalkan bantuan minuman dan roti kepada mangsa banjir di pusat-pusat penempatan termasuk di Kuala Kedah, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Jerlun.
Katanya di kawasan lain yang terputus hubungan, bantuan kewangan akan disalurkan kepada Ketua Pemuda Umno negeri bagi tujuan sama.
Kedah adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir kali ini. Sehingga 9 pagi tadi, lebih 28,000 dipindahkan ke pusat penempatan sementara.
(Sumber: Bernama)