Tuesday, February 16, 2010

Kenyataan Akhbar Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan YAB Lim Guan Eng kini umpama cacing kepanasan yang sedang mencuba pelbagai helah memutar belitkan fakta untuk terus membohongi rakyat sejurus daripada pendedahan surat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 5 Februari 2010 oleh Pergerakan Pemuda UMNO (Pemuda UMNO) menerusi blog Saudara Khairy Jamaluddin.

Keadaan ini amat berbeza jika dibandingkan sebelum ini dengan YAB Lim Guan Eng kelihatan begitu lantang menepis dan mempersendakan kenyataan dari pelbagai pihak dan laporan media mengenai pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang.

Dalam usaha memutarbelitkan fakta ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah dilihat mengambil beberapa tindakan berikut : -

PERTAMA, pada 13 Februari 2010, Abdul Malek Abul Kasim, selaku Exco yang terbabit bagi portfolio Agama Islam, telah tampil menyatakan bahawa kandungan surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaa Negeri itu hanyalah satu cetusan idea mengenai penyusunan program sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

KEDUA, Manakala pada 14 Februari pula, YAB Lim Guan Eng telah dilaporkan oleh sebuah akhbar internet bahawa sebenarnya terdapat tiga surat yang telah dihantar berkenaan sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pulau Pinang. Menurut beliau, surat pertama bertarikh 13 Januari 2010, kedua – pada 15 Januari untuk pihak masjid dan organisasi berkaitan Agama Islam bagi mendapat pandangan berkenaan sambutan Majlis Maulidur Rasul dan surat yang terakhir pula bertarikh 12 Februari – berkenaan keputusan untuk mengadakan perarakan dan majlis sambutan.

Daripada segala kenyataan-kenyataan ini, Pemuda UMNO Pulau Pinang ingin menjelaskan bahawa : -

[1] Bermula dari kenyataan Abdul Malek, penjelasan beliau bukan sahaja telah membuktikan kesahihan salinan surat berkenaan malah menunjukkan pembohongan dan sandiwara berterusan pihak Kerajaan Negeri. Ini kerana, surat tersebut dengan jelas dan amat terang sekali telah menyatakan bahawa Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang telah memutuskan untuk membatalkan perarakan tradisi Maulidur Rasul di dalam mesyuaratnya pada 3 Februari lalu.

Itu adalah satu pembatalan mutlak.

Oleh itu, surat berkenaan dihantar untuk memaklumkan pihak terbabit tentang pembatalan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri serta bagi menjemput wakil-wakil untuk suatu majlis gantian yang diberi nama Majlis Perhimpunan Ummah. Tidak ada langsung sebarang rujukan tentang perbincangan mahupun proses percenaan idea di dalam surat yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan itu.

Malah, jika dilihat kepada atur cara Majlis Perhimpunan Ummah yang bakal diadakan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah memberhentikan tradisi penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul bagi rakyat negeri Pulau Pinang.

[2] Kenyataan YAB Lim Guan Eng pula amat bercanggah sekali. Pertama sekali beliau telah dilaporkan oleh akhabr internet berkenaan bahawa surat yang dirujuk oleh YB Ketua Pemuda UMNO dan juga pihak lain adalah surat kedua yang bertarikh 15 Januari 2010. Kenyataan ini bukan sahaja menyalahi fakta kerana Saudara Khairy merujuk kepada surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertarikh 5 Februari – dan bukannya 15 Januari 2010. Surat 5 Februari itu ditujukan kepada ketua-ketua jabatan serta agensi peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan – bukannya kepada masjid dan badan atau organisasi berkaitan Agama Islam.

Keduanya pula, tiada langsung ayat atau maksud di dalam surat 5 Februari yang merujuk kepada usaha perbincangan atau ransangan idea untuk sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang sebagaimana yang dihuraikan oleh YAB Lim Guan Eng.

Ketiganya, terdapat perselisihan rujukan surat oleh YAB Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri dan Exco beliau, Abdul Malek Abu Kassim. YAB Lim merujuk kepada surat 15 Januari 2010 dan Abdul Malek pula kepada surat 5 Februari 2010. Ini umpama tiada ketelusan dan profesionalisme di dalam pentadbiran YAB Lim Guan Eng yang dikatakan menjurus kepada Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

Lanjutan itu, kini, kredibiliti dan ketelusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan YAB Lim Guan Eng sudah tercalar dengan penafian dan sandiwara mereka tentang satu perkara yang sudah terang lagi bersuluh bagi seluruh rakyat Malaysia, amnya, dan Pulau Pinang, khususnya.

Rakyat Pulau Pinang ini telah melihat betapa tidak cekapnya, betapa tiada akauntabilitinya serta betapa tidak ada ketelusannya pentadbiran YAB Lim Guan Eng di Pulau Pinang, yang disanjung oleh Parti Islam sebagai pemimpin ala Khalifah Umar Abdul Aziz. Malahan, tindakan bagi menyelitkan aturcara perarakan sambutan Maulidur Rasul adalah satu usaha yang tidak ubah seperti tindakan susulan bagi menyelamatkan diri, selepas reaksi dan protes rakyat yang beragama Islam di Pulau Pinang.

Di dalam kesibukan YAB Lim Guan Eng berusaha meminda sejarah, Pemuda UMNO Pulau Pinang menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang bersatu bagi melakar masa hadapan kita bersama.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP