Tuesday, October 27, 2009

Mewujudkan usahawan muda

KUALA KRAU 19 Okt. - Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau mahu kerajaan memandang serius saranan penubuhan Bank Belia atau Bank Pemuda bagi menggalakkan golongan itu bergiat dalam bidang keusahawanan.

Mereka menyifatkan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini tepat pada masanya berikutan kecenderungan minat golongan itu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang semakin tinggi.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Norhasmimi Abd. Ghani berkata, cadangan itu wajar mendapat perhatian kerana ia dapat memberi kemudahan pinjaman perniagaan kepada bakal usahawan.

''Bank Belia perlu berfungsi sebagai pemberi pinjaman mudah tanpa sebarang kawalan ketat yang membantutkan hasrat generasi muda berniaga," katanya.

Khairy ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 Oktober lalu meminta kerajaan menyediakan beberapa inisiatif khas untuk golongan muda menjelang pembentangan Bajet 2010.

Menurut Norhasmimi, penubuhan Bank Belia atau Bank Pemuda mampu menggalakkan golongan itu terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan yang semakin berkembang pesat pada masa ini.

"Kumpulan terbabit kini berhadapan dengan masalah kekurangan pekerjaan yang menuntut kerajaan menyegerakan usaha menyelesaikan masalah mereka,'' katanya.

Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Rohaiza Hashim menegaskan, idea Ketua Pemuda UMNO itu perlu direalisasikan demi masa hadapan kaum bumiputera di negara ini.

"Kewujudan Bank Belia itu mampu menggerakkan usaha mencapai matlamat mewujudkan masyarakat perdagangan dan keusahawanan bumiputera di negara ini,'' katanya.

Setiausaha Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Norzalila Ahmad pula berkata, walaupun ada institusi yang bersedia mengeluarkan dana membantu belia berniaga tetapi mereka terpaksa mematuhi prosedur agak ketat.

''Kewujudan Bank Belia jika menjadi kenyataan mungkin menjadi institusi kewangan yang paling telus dan mudah mengeluarkan pinjaman kepada individu tanpa masalah besar,'' katanya.

Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Hanisah Hamzah berpendapat, kewujudan Bank Belia akan dapat menangani masalah ceti haram atau 'ah long.'

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Hillmi Mohamed berkata, Khairy mencetuskan idea yang baik apabila menyarankan kerajaan mewujudkan Bank Belia terutama kepada golongan muda bagi mendapatkan modal dan pembiayaan perniagaan.

Katanya, kebanyakan belia menghadapi masalah modal untuk memulakan perniagaan berikutan tiada institusi kewangan yang komited membantu mereka.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, Abdul Rahman Ahmad memberitahu, penubuhan Bank Belia merupakan alternatif dalam membantu golongan muda memperoleh dana untuk memulakan perniagaan.

''Kewujudan Bank Belia untuk membantu usahawan muda itu perlu direalisasikan bagi melahirkan masyarakat niaga di kalangan Bumiputera,'' katanya.

Read more...

Program 'dividen politik' tumpuan Pemuda

REMBAU 18 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO akan terus memberi tumpuan terhadap penganjuran program yang memberi 'dividen politik' kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketuanya, Khairy Jamaluddin, matlamat utama program berkenaan adalah untuk menarik minat golongan pengundi muda terhadap BN dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kejayaan besar calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang baru-baru ini membuktikan keberkesanan program tersebut.

''Bagaimanapun, butiran terperinci tentang program tersebut masih dirahsiakan dan akan didedahkan setelah dilancarkan kelak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Balai Raya Kampung Gadong dekat sini hari ini.

Menurut Khairy, beliau telah memberi jaminan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang komitmen ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO bagi menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasrat Pas untuk menubuhkan kelab penyokong yang dianggotai oleh golongan bukan beragama Islam tidak memberi sebarang ancaman terhadap BN.

Menurutnya, rakyat lebih bijak menilai keupayaan BN menjaga kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

''Pas telah lama mencadangkan penubuhan kelab tersebut. Namun, sehingga hari ini kita masih belum melihat ia dilaksanakan," kata Khairy.

Jelas beliau, BN tidak perlu gentar dengan hasrat Pas itu kerana formula yang diamalkan menerusi gabungan parti-parti komponen mewakili kaum Melayu, Cina dan India merupakan yang terbaik untuk negara ini.

Read more...

Pemuda anjur Skim Peluang Kedua

KAJANG 17 Okt. - Nasib golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun yang gagal mencatat keputusan baik dalam bidang akademik terus dibela Pergerakan Putera UMNO melalui program yang dikenali sebagai Skim Peluang Kedua.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, golongan berkenaan tidak wajar dilupakan kerana mereka juga sebenarnya mempunyai bakat tersendiri dan akan turut sama mencorakkan masa depan negara.

Justeru katanya, Putera UMNO dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia menyediakan tempat untuk golongan itu menuntut ilmu selain memastikan mereka mendapat kerja apabila tamat belajar.

"Setakat ini, Putera bekerjasama dengan Kolej Teknologi Automotif (Tekat) sejak 2006 dan telah berjaya melahirkan 3,000 pelatih.

"Daripada aspek penyediaan tempat belajar, kos pembelajaran sehinggalah mencari kerja, semuanya diuruskan oleh Putera UMNO bersama kementerian. Mereka cuma perlu belajar dan bekerja bersungguh-sungguh sahaja," katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri 2009 Putera UMNO bersama pelatih skim peluang kedua di Kolej Tekat, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Biro Putera UMNO, Megat Zulkarnain Omardin, Pengerusi Eksekutif Tekat, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan hampir 1,000 peserta program itu.

Pada majlis itu, Khairy turut mengambil kesempatan memberi kata-kata perangsang kepada 30 lulusan program tersebut yang akan melaporkan diri di Tan Chong Motor Assemblies pada Isnin minggu hadapan.

Diminta mengulas krisis dalaman MCA, Khairy menjelaskan, Pemuda UMNO enggan masuk campur dalam sebarang urusan parti itu.

Sebagai adik-beradik katanya, Pemuda bagaimanapun tetap risau terhadap 'penyakit' yang dialami parti itu yang jika tidak dibendung mungkin akan menyebabkan orang luar memandang serong terhadap mereka.

"Saya amat berharap MCA cepat sembuh. Saya sudah suarakan kebimbangan ini kepada ketua Pemudanya dan semoga mereka mampu mengatasi masalah ini dengan baik,'' ujarnya

Read more...

Friday, October 23, 2009

Bangunlah BangsaKu- KJ



KJ:
Bangunlah
Bangunlah bangsaku
Apalah erti omongan jika lekang dengan tindakan
Harapan berkecai bak debu berterbangan jika tidak diampuh peranan.
Tewas sudah gurindam dilagu,merungkai mengupas belenggu bangsaku
Laungan dan panji-panji menggegar jiwa jumud dan kaku makin sayup merintis sayu,
Namun aku pasti,fajar kini menyingsing lagi menyingkap tirai membawa harapan seribu erti
Namun menjanjikan kegelapan bagi yang dengkal,alpa dan iri hati.
Justeru Bangunlah Bangsaku....
Penuh kesedaran dalam kematangan
Disuntik azam baru,gembelengkan tenaga berpadu kita teguh bersatu,
Perwajakan hati,perkasakan diri sedia kita tempuh segala seteru.
Kerana masa beredar dan bumi berputar,memungkinkan perubahan yang tidak menentu,
Justeru Bangunlah Bangsaku,
Yang mapan dan berdikari dibawah naungan 1Malaysia,agar kita duduk sama rendah kita berdiri lebih tinggi,
Agar jiwa bangsaku yang bermaruah,tidak tertindas,tidak dihina tidak perlu merintih lagi,
Mengibar panji dipuncak ekonomi bukan lagi satu mimpi,
Bangunlah Bangsaku,
Jangan kita tersungkur lagi,sejarah hitam jangan kita ulangi cukuplah hanya sekali.
Bangunlah Bangsaku,
Perjuangan ini kita diisi,kita galas,kita tunjangi biar anak-anak kita tidak malu untuk mengakui bahawa hasil perjuangan ayahnya bangga dikecapi maruah bangsa megah diwarisi.
Bangunlah Bangsaku,
Bangunlah Bangsaku,
Bangunlah Bersama Negaraku................

Bangunlah BangsaKu- KJ on the KJFC discussion board.

Zakaria Bidin:
Sangat baiklah seruan ini. Kita kena selalu dengar seruan pemimpin sepertimana juga peranan azan. Setiap waktu kita kena azan supaya orang mendengarnya. Lambat laun, mereka yang mendengarnya akan terpanggil untuk menyambut seruan azan itu.
Untuk membangkitkan semangat manusia bukan kerja mudah tetapi hendaklah berterusan walaupun nanti ada orang kata sudah jemu dengan seruan supaya bangsa kita bangun. Akhirnya nanti, orang yang jemu akan tinggal sedikit. Harap seruan seumpama ini hendaklah berterusan kerana itu juga satu mukjizat dari pemimpin tidak kira apa saiznya.

Fahrin Badry:
Bangunlah bangsaku...,
Tingkatkanlah dan berusahalah ke arah kehidupan diakhirat yang kekal abadi.

Dunia, bangsa dan sahabatmu tak mungkin dapat membantumu disana.
Yang kamu bawa hanyalah amal baikmu, hartamu yang didermakan dan doa anakmu yang soleh/solehah.

Saban hari, kita tidak berhenti-henti dan asyik memikirkan kuasa bangsa, politik dan kekayaan di dunia. Kita lupa sebenarnya esok kita akan mati.

Nordin:
jika dihayati perutusan adalah menjadi tanggungjawab dan amanah para 'pengurus' UMNO untuk memastikan produk(rakyat) tidak ada cacat celanya...dan berkhdimatlah dengan merasakan kepuasan apabila ditunaikan kehendak mereka yang memerlukan...syabas saya ucapkan atas kesungguhan yang dilakukan oleh YB Khairi Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Malaysia,semoga sentiasa dirahmati Allah...

Shamsuddin:
Bangsa yang bangun ini mestilah mempunyai jiwa yang merdeka dan jati diri yang berpaksikan kepada iman dan takwa. Jika bangsa ku ini masih tunduk dengan tekanan dan desakan bangsa-bangsa asing dan kepentingan kaum-kaum lain sehinggga meminggirkan bangsanya sendiri, maka itu bermakna bangsaku akan pupus di negara ini beberapa dekat lagi.

Muhammad Kamil:
askum,terima kasih diatas seruan ke arah ya-alfalah amin.alhamdulilah brother ujang KJ hehehe ok teruskan 5 itu.saya si lima53 amat bersukacita diatas usaha mu itu ku doakan.maju maju maju jgn undur brother demi barisan pemuda2.lurus shaf2 pemuda2 agar sentiasa bersedia didalam jua kemungkinan yg datang amin.

Zul Azhar:
bangsaku mesti bangun dlm erti kata yg sebenar. kata2 YB KJ dalam ucapannya. bangun bukan bererti kita tidur ttp bingkas utk memulakan langkah. langkah utk berubah yakni berhijrah utk kebaikan. bangsaku masih jauh ketinggalan cumag yg kita advance hanylah 'phd' yg begitu meninggi sehinggakan tidak sanggup utk melihat bangsanya sendiri maju. kita bukan hanya mesti bangun utk melangkah sebaliknya bangunkan juga minda kita utk menjadai lebih positif dgn tidak hanya menyalahkan org lain setiap kali kita gagal. melihat faktor dan kelemahan diri sendiri adalah sesuatu yg amat susah utk diterima oleh bangsa...sy menyeru semua bangsaku utk bangun dan memeulakan langkah yg pertama serta sentiasa berfikirkan positif...fikirkan boleh insyaallaha akan adalah langkah yg pertama itu.

Fadzlan:
Terima Kasih YB KJ........
ape yg shabt-shbt ckpkan smue yer btul....
sy sokong.............

Mohamad Rahmat:
Mrilah pemuda2 kita bersatu dengan semangat setiakawan menyahut amanat presiden UMNO dan Ketua Pemuda kita YB KJ

Bungaraya:
Salam, Era perubahan menentukan kuasa pemimpin lanjut umur (60-an ke atas) dan kuasa pemimpin muda (40-an kebawah) akan bermula di PR13 dan PR14. Pada Ogos 25,2009 semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh dianggarkan 90% pengundi bawah 30 tahun mengundi untuk Anwar. Presiden Kulit Hitam Pertama Amerika Barrack Obama disokong oleh 63% penggundi muda. Pemimpin berkarisma dan muda sisukai oleh golongan muda diserata dunia. Lebih 2 juta golongan muda yang baru akan mengundi di PR13 akan datang di tambah dengan 4 juta penggundi yang sedia layak melayakan diri menggundi tetatpi tak sempat mengundi di PR12 akan bergabung. Maka dianggarkan 6 juta pemuda dan pemudi akan mengundi di PR13 &14 nanti. Jumlah penggundi sekarang lebih kurang 11 juta pengundi maka lebih kurang 60% penggundi adalah golongan muda. Golongan muda ini akan menentukan dan monopoli pemerintahan negara akan datang.
Maka Slongan "Bangkit Bangsa Ku" Bangun Bangsa Ku" dan lain-lain slongan hanya menjadi reotorik kepada golongan muda. Maka pemuda UMNO perlu memikul tanggung jawab untuk menentukan golongan muda ini senang dan mudah menghampiri UMNO/BN. Golongan tua masih diperlukan tetapi mereka perlu memahami "apakah keperluan golongan muda ini"?. Orang Muda selalunya mahu produk baru. Apakah golongan tua di UMNO sudah sediakan produk baru untuk mereka?. tanpa produk baru pengundi-pengundi ini tidak berminat dengan UMNO/BN ini. Satu perkara perlu ingat Parti PAS sedang mengorak berbagai langkah untuk mendampingi remeja-remeja ini. Ini bukan tekaan tapi buatlah poll di pusat-pusat pengajian tinggi , berapa peratus penuntut ini sokong UMNO/BN?. Ia adalah satu keadaan bahaya bagi BN. Wal hal di UMNO ketua pemuda selalu menjadi sasaran kritikan oleh golongan tua dalam UMNO. sebarang pandangan dan Idea yang diberikan oleh pemuda untuk pembangunan dan perubahan dalam part;i pemuda dipandang sinis dan selalu dikritik oleh golongan tua dalam parti. Era politik siapa makan garam lebih sudah berubah. Pengundi golongan muda ingin lihat perubahan hala-tuju parti untuk golongan mereka dari persepsi pemimpin muda.
Cara penyampaian messej kepada golongan muda 15-24 tahun amat mustahak. Acuan dibina pada umur sebegini. Media baru akan memainkan peranan di PR13 & PR14. Dalam konteks blog-blog kelemahan ketara ialah golongan yang sukakan UMNO akan berkunjung ke blog-blog penyokong UMNO dan sukakan parti pembangkang akan ke blog-blog yang sokong pembangkang. Mengikut Comscore pada Mei 2008, Friendster mempunyai 3,024,000 pelawat berbanding Face Book 758,000 pengunjung dan my space 735, 000 pelayar. Pemimpin pemuda perlu mencari dan menyelidik cara untuk golongan muda ini berjinak-jinak dengan parti politik mereka. Hanya mencipta dan propagandakan dalam MSM atau blog-blog UMNO slongan-slongan yang bersemangat berkobar-kobar tidak akan membawa UMNO kemana-mana. Slongan seperti "Bangunlah...Bangkitlah akan menjadi sendagurau bagi golongan mereka. Golongan muda perlukan lebih dari mencipta slongan. ketua pemuda faham natijah ini tetapi apakan daya?." Gayung tua di UMNO gayung pemutus". Pemuda Umno perlu bergerak dengan agenda mereka sendiri untuk memikat golongan pengundi muda yang sudah tentu akan menjadi pemutus dalam Pilihan raya Umum 13 & 14.Wassalam. HIDUP UMNO!!!!

Syed Abu Bakar:
Bangun Bangsa Ku, Mudah diperkatakan tapi onak dan duri menanti.
pengalaman selalu mengajar dan mengingatkan kita erti berterima kasih. Datuk, nenek, ibu dan bapa kita telah melaluinya, zaman kepayahan dijajah dan zaman kemerdekaan.Mereka tidak pernah lupa, apa yang berlaku pada tahun 1998 tidak sama sekali mengugat kesetiaan mereka.Mereka tidak pernah lupa.
anak-anak muda sekarang apa yang harus mereka berterima kasih? segala berita disampaikan dengan cepat sekali yang baik atau buruk.Ekonomi negara semua telah disediakan dengan baik sekali oleh kerajaan, Jadi apa harus mereka berterima kasih. adakah kita harus salahkan mereka untuk tidak berterima kasih?
Inilah masanya kita mendekati mereka dengan apa cara sekalipun agar mereka tidak mengadai masa depan mereka hanya dengan janji palsu.
Buktikan pada mereka bahawa madah perjuang kita untuk mereka, untuk anak-anak mereka dan cucu-cicit mereka. marilah kita bersama-sama membawa mereka melalui pengalaman perubahan ini agar mereka tidak lagi berada di PERSIMPANGAN JALAN.BANGUN LAH BANGSAKU DAN SAUDARA-SAUDARAKU.

Irkzik Imza:
Bangun Lah BangsaKu..Bangun Lah BangsaKu..

Sebenarnya saya berpendapat kita sebenarnya dalam keadaan terlalu selesa.
Segala-galanya disediakan oleh pihak yang berwajib.
Bilamana keadaan terlalu selesa maka kita terlupa akan kebolehan serta kemampuan kita yang sebenarnya
Kita terlupa akan kehebatan kita dek terlalu di manja.
Kita hilang hormat dan hilang kepercayaan kepada Bangsa kita sendiri.
Dek terlalu selesa maka kita lihat tahap mutu kecemerlangan orang kita semakin merudum perkhidmatannya.
Dek terlalu selesa perkhidmatan yang tidak mencerminkan kecemerlangan mengharapkan pulangan agak berlebih-lebihan setimpalnya.
Dek terlalu selesa juga kita kerap disumbang dari menyumbangkan sesuatu.
Dek terlalu selesa kita tidak memberi ruang kepada orang kita menunjukkan kepandaian serta kehebatan mereka.
Dek terlalu selesa kita lebih mempercayai orang lain dari orang kita sendiri.
Dek terlalu selesa kita tidak membudayakan budaya niaga.
Dek terlalu selesa kita mempercayai sistem yang sama dari sistem yang berbeza.
Dek terlalu selesa kita melakukan perkara yang sama mengharapkan keputusan yang berbeza...
Dek terlalu selesa kita menjauhkan diri dari orang kita.
Dek terlalu selesa kita hanya selalu berkata-kata dari melaksanakannya...
Dek terlalu selesa kita katakan Bahasa Jiwa Bangsa
Dek terlalu selesa kita merasakan kita Tuan selamanya.

Bangunlah BangsaKU...BangunLah BangsaKU....
Kita harus keluar dari kelompok dan ruang keselesan....
Renung-renungkan Lah........

Noorasikhin:
Kebenaran ..terutama tentang kekurangan diri kita memang seringkali tidak sedap didengar.Kerana apa?Kerana kita punya kecenderungan utk tampil baik di depan org.

YB KJ ingin beritahu yang kita masih dibelakang.Kita belum mampu menjadi bangsa yang dominan.Beliau mungkin ingin mempercepatkan 'process recovery'.

Pemimpin yang baik adalah yang berani menanggung risiko bila mengatakan kebenaran.Apa yang kita mahukan,KEBENARAN YANG PAHIT ATAU PEMBOHONGAN YANG MANIS?

Anggaplah ini satu 'wake -up call' dari beliau.

Kalangan kita punya latar belakang yang berbeza.,gunakan peluang utk berubah..,sebaris seperti mereka yg sudah berjaya.

Ridsect:
Salam Setia Kawan.....Semoga kita dapat bersama mencari di mana kah kelemahan UMNO di alaf ini...apa yang menyebabkan golongan muda ini menolak kepada UMNO...Sama-sama buat kerja....

Mohammed Nazim:
Bangunlah bangsaku....
Janganlah jadi bangsa Melayu yang terus layu
Yang mudah diperkotak katik kan oleh bangsa lain
Jagalah kuasa yang ada
Agar anak cucu kita terbela.......

Radzwill:
Tapi sejak bebarapa hari persidangan itu. tak sorang pun sentuh tentang bahasa. Walhal bahasalah yang menyatukan Bangsa Malaysia

Satu bahasa pelu untuk menyatupadukan rakyat, agar rakyat dapat kenal mengenal antara satu sama lain, berkomunikasi tanpa sebarang syak, zan dan waham.

Demi Satu Malaysia kita perlu mencari satu bahasa yang boleh digunapakai oleh majoriti masyarakat secara meluas.

Bahasa itu perlu dititikberatkan dan diagungkan agar semua orang boleh berhubung dan menjalani kehidupan menggunakan bahasa itu.

Masyarakat perlu memilih bahasa apakah yang boleh digunapakai oleh orang Cina, orang India, orang kadazan, orang melanau, orang murut, orang laut dan lain-lain. Bahasa apakah yang boleh digunakan oleh petani, penternak, penoreh getah, pemansu teksi, guru, pengeksport dan pengimport, penyanyi, pelakon. Bahasa apakah yang boleh digunakan oleg ahli agama, askar, raja, anak raja, anak saudara raja, adi beradik raja, menteri besar, perdana menteri, hakim2.

Adakah kita ingin menggunakan bahasa Inggeris untuk digunakan dan dititik beratkan dan diagungkan untuk digunakan oleh kesemua diatas atau bahasa India atau bahasa Cina. Sekurang-kurang satu bahasa yang kesemua jenis manusia di atas fahami dan digunakan seharian.

Bahasa apakah itu?

Read more...

Thursday, October 15, 2009

Cadang wujudkan Bank Belia


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan menyediakan beberapa inisiatif khas untuk golongan muda menjelang pembentangan Bajet 2010 antaranya mewujudkan Bank Belia atau Bank Pemuda bagi menggalakkan golongan itu terlibat dalam bidang keusahawanan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu kerana kumpulan terbabit kini berhadapan dengan masalah kekurangan pekerjaan yang menuntut pihak pemerintah menyegerakan usaha menyelesaikan masalah mereka.

Melalui bank berkenaan katanya, pihak kerajaan boleh menyalurkan pinjaman khas kepada mereka terutama bagi mengatasi masalah modal perniagaan di peringkat permulaan.

''Selain itu ia turut menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi.

''Selain itu cadangan inisiatif khas itu juga melibatkan usaha menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutama di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bioteknologi,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ucapan yang bertajuk Di Persimpangan Jalan Perjuangan itu disampaikan di hadapan 795 perwakilan dari seluruh negara.

Turut hadir Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim dan barisan Exco pergerakan itu.

Khairy berkata, melalui inisiatif khas berkenaan kerajaan harus menambahkan peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

Dalam ucapan dasarnya itu, beliau turut menarik perhatian perwakilan mengenai nasib golongan muda yang baru memulakan hidup berkeluarga.

''Pemuda juga prihatin dengan nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga.

''Sudah tentu mereka ini baru bekerja dan dalam masa sama mempunyai pelbagai tanggungan termasuklah membantu ibu bapa dan membayar pinjaman pendidikan,'' katanya.

Justeru beliau berkata, pihak Pemuda mencadangkan beberapa langkah yang wajar diberikan perhatian oleh kerajaan antaranya menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah terendah.

Melalui langkah itu kata beliau, ia akan membolehkan golongan muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah sendiri.

''Antara langkah lain ialah memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru memiliki kereta.

''Pemuda juga ingin mencadangkan supaya kerajaan memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional,'' katanya.

Selain itu kata Khairy, langkah tersebut turut meliputi tawaran baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

''Pemuda berharap kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada langkah-langkah yang dicadangkan itu.

''Pemuda percaya dengan gerak kerja dan khidmat berterusan insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset penting kepada negara,'' katanya.

Read more...

Wednesday, October 14, 2009

Tuntut perubahan sikap - Khairy



KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini berharap pindaan perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada perhimpunan agung khas UMNO Khamis ini turut menuntut perubahan sikap semua para perwakilan khususnya Pemuda.

''Saya istilahkan perhimpunan Pemuda dan perhimpunan agung sebagai satu perhimpunan transformasi di mana perubahan bukan hanya berlaku kepada peraturan dan undang-undang dalam perlembagaan tetapi juga melibatkan kompas politik kita.

''Harapan kita bahawa pindaan ini akan mendorong kepada seluruh keahlian terutama Pemuda UMNO untuk membuat transformasi sikap kita. Transformasi perlembagaan sahaja tidak mengubah segala-galanya dan kita perlu kepada transformasi keahlian itu sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato' Onn di sini.

Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga menyentuh mengenai bagaimana Pemuda dapat memainkan peranan mereka dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

''Kita mesti mempunyai pandangan 1Dunia iaitu satu pandangan politik yang lebih terbuka yang boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita kena tunjuk kepimpinan Pemuda UMNO dan UMNO bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,'' katanya.

Diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) campur tangan dalam pergolakan MCA, Khairy berkata, Pemuda tidak ada halangan sekiranya campur tangan itu dapat menyelesaikan kemelut MCA.

''Pemuda anggap serius apa yang berlaku dalam parti komponen BN. MCA kita harap dapat selesaikan secepat mungkin. Sekiranya menuntut kepada satu kepimpinan, satu nasihat daripada presiden untuk menerokai penyelesaian.

''Kita di Pemuda tidak ada apa-apa halangan dan ia mungkin satu cadangan yang baik kepada pengerusi BN dan bukannya campur tangan tapi menerokai satu jalan penyelesaian bagi MCA. Apa yang berlaku dalam MCA akan memberi kesan kepada BN,'' katanya. - BERNAMA

Read more...

Tuesday, October 13, 2009

Anwar dicabar saman Nallakarupan

PORT DICKSON 9 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menyaman bekas sahabat baiknya Datuk S. Nallakarupan yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu mempunyai simpanan RM3 bilion dalam beberapa akaun utama di luar negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika benar Anwar menafikan dakwaan itu, beliau perlu membuktikannya termasuk menyaman Nallakarupan kerana telah memfitnah.

Katanya, jika Anwar boleh menyaman beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin PKR itu juga perlu menyaman bekas sahabat karibnya itu untuk membersihkan nama.

"Tetapi Anwar tidak berani nak saman Nallakarupan. Sebab Nallakarupan pernah bagi RM60 juta kepada Anwar.

"Nallakarupan merupakan sahabat baik Anwar (satu ketika dahulu) selalu makan dan main tenis sama-sama," kata Khairy ketika berucap pada program Pentas Pemuda di sini malam ini.

Nallakarupan sebelum ini telah membuat kenyataan Anwar mempunyai pelbagai sumber kewangan yang besar seperti mana didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid dalam kenyataan yang dibuat dalam tahun 1999.

Khairy beberapa hari lalu telah membuat laporan polis berhubung akuan bersumpah Abdul Murad dan kenyataan Nallakarupan itu supaya satu siasatan menyeluruh dapat dilakukan berhubung tuduhan tersebut.

Menurut beliau, Anwar tidak berani menyaman kerana Nallakarupan menyimpan banyak rahsianya.

Beliau turut menyentuh mengenai bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang kini diterima masuk PKR selepas keluar dari UMNO.

Katanya, Zaid tidak ada beza dengan calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebab pernah dihukum oleh UMNO sewaktu menjadi Ketua Bahagian kerana politik wang.

"Kenapa hendak bangkit isu tindakan tata tertib yang dikenakan ke atas Mohd. Isa? Zaid pun pernah dikenakan tindakan sama sebab politik wang. Kenapa boleh terima Zaid tetapi tidak Mohd. Isa," katanya.

Selain itu katanya, Pas juga berdolak-dalik dalam isu untuk menubuhkan negara Islam.

Kata Khairy, dia pernah mencabar bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berdebat mengenai isu mampukah parti itu melaksanakan hudud di Malaysia.

"Husam pada sidang akhbar bersama saya kata boleh (laksanakan hudud di Malaysia)," ujarnya.

Namun selepas itu kata Khairy, pemimpin DAP, Karpal Singh mengatakan langkah mayatnya dulu jika mahu melaksanakan hudud dan diikuti oleh seorang lagi pemimpin parti itu Lim Guan Eng.

"Selepas itu Husam kata pas tak boleh buat (laksanakan hudud). Nampaknya Pas takut dengan DAP," katanya.

Tet

api dalam BN katanya, pemerintahan dilakukan mengikut perlembagaan yang mana kepentingan semua parti komponen diambil kira tanpa ada yang dipinggirkan.

Read more...

Saturday, October 10, 2009

Bagan Pinang : KJ Cabar Anwar Saman Dato Nalakarupan

Read more...

Wednesday, October 7, 2009

Pemuda UMNO buat laporan polis

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan Datuk S. Nallakarupan baru-baru ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan berkaitan dengan sumber kewangan Anwar perlu disiasat dengan secepat mungkin dan tidak sepatutnya dilupakan.


''Dalam kenyataannya, Nallakarupan mendakwa Anwar diketahui mempunyai pelbagai sumber kewangan yang besar seperti mana didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid dalam kenyataan yang dibuat dalam tahun 1999.

''Menurut akuan berkanun Abdul Murad, Anwar mempunyai RM3 bilion yang disimpan dalam beberapa master accounts,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairy menegaskan, tuduhan berkenaan amat berat.

''Apabila akuan berkanun Datuk Abdul Murad dibuat, ramai yang tertanya apakah hasil siasatan daripada pihak berkenaan.

''Ramai yang masih ingin tahu sama ada tuduhan tersebut betul dan sekiranya betul apakah tindakan selanjutnya,'' katanya.

Tambah Khairy, sekarang rakyat diingatkan lagi dengan satu pengesahan daripada Nallakarupan yang sebagai sahabat karib kepada Anwar sudah tentu mempunyai maklumat yang tepat.

''Sekiranya Nallakarupan masih menegaskan bahawa Anwar mempunyai pelbagai sumber sambil merujuk kepada akuan berkanun Abdul Murad, perkara ini perlu disiasat dengan teliti, terperinci dan segera demi kepentingan awam,'' katanya.

Menurut beliau, Pemuda UMNO juga memandang berat taktik kotor pakatan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

''Pakatan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan dan dakyah terhadap Barisan Nasional (BN) dan calon BN semata-mata untuk mengelirukan pengundi.

''Suka saya mengingatkan pihak pembangkang agar jangan menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri,'' katanya

Read more...

Saturday, October 3, 2009

Pemuda sudah bersedia di PRK Bagan Pinang - Khairy

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jentera Pemuda sudah bersedia untuk memastikan calon BN menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam kempen kali ini, kita tidak mahu menyerang peribadi calon sebaliknya lebih fokus pada penyelesaian terhadap masalah rakyat,” katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Nor dari BN akibat jangkitan dalam darah 4 September lalu.





































Read more...

Friday, October 2, 2009

Pengumuman calon BN di Command Centre Barisan Nasional PRK N31 Bagan Pinang amat memberansangkan.


Telok Kemang - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau telah bersama-sama pada hari pengumuman calon BN di Command Centre Barisan Nasional PRK N31 Bagan Pinang. Kehadiran pada hari itu amat memberansangkan. Kalau dilihat, boleh dianggarkan seramai lebih 10,000 orang telah membanjiri kawasan tersebut.

Tahniah diucapkan kepada YBhg Dato' Seri Utama Tan Sri Mohd Isa B. Ab Samad, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang kerana telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan sebagai Calon Barisan Nasional pada PRK N31 Bagan Pinang. Semoga kejayaan pada PRK N31 Bagan Pinang menjadi milik BN... InsyaAllah...

Klik disini untuk melihat gambar Pengumuman Calon

Sumber http://pemudarembau.blogspot.com/

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP