Wednesday, May 26, 2010

Khairy tamat latihan Wataniah




RASAH 25 Mei - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melakar sejarah apabila berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selepas sebulan mengikuti kursus tersebut dalam pasukan Askar Wataniah.

Sepanjang tempoh itu, beliau turut mengikuti latihan seperti berkawad, menembak dan merempuh halangan di beberapa kem di negeri ini dan Johor.

Menurut Khairy, penyertaan beliau dalam pasukan tersebut bukan kerana dorongan politik tetapi mahu berkhidmat untuk negara.

''Tidak ada politik dalam askar kerana ia sudah ditinggalkan di luar pagar apabila saya menjejakkan kaki di sini.

'''Malah saya menjemput Ketua Pemuda Keadilan, Ketua Pemuda Pas dan Ketua Pemuda DAP dan membawa rakan-rakan mereka bagi menyertai saya dalam Askar Wataniah dan mempertahankan negara kita daripada ancaman musuh," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 1/2010 di Kem Rasah di sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Panglima Briged Pertama Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Abdullah Karim.

Turut hadir menyaksikan Khairy dan seramai 87 orang dalam skuadnya berbaris ialah bekas Perdana Menteri yang juga bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah serta isterinya, Nori Abdullah.

Dalam pada itu, Khairy diumumkan sebagai Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan dan Terbaik Akademik.

Tambah Khairy, beliau berharap rakyat negara ini sama ada Melayu, Cina dan India bersama-sama menyertai pasukan keselamatan kerana ia bukan sahaja dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh malah untuk mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya juga berharap kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang baru sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghantar mereka menyertai Askar Wataniah daripada membiarkan mereka hidup tanpa haluan," katanya.

Khairy yang memegang nombor 6210405 semasa mengikuti latihan itu berkata, beliau akan meneruskan latihan tersebut walaupun mengakui mempunyai kekangan masa sebagai seorang Ahli Parlimen dan ahli politik.

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP