Tuesday, March 2, 2010

Isu royalti minyak: Jangan terperangkap dengan Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disifatkan sengaja mengumpan kepimpinan UMNO agar mengambil tindakan keras terhadapnya termasuk memecat beliau apabila terus mengeluarkan kenyataan mengenai isu royalti minyak.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kepimpinan parti tidak boleh terperangkap dengan 'permainan' bekas Menteri Kewangan itu kerana ia sengaja dicipta supaya beliau dianggap sebagai hero sekiranya dikenakan tindakan atau dipecat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pungutan suara di peringkat akar umbi berhubung pendirian mereka atau tindakan yang perlu diambil terhadap Tengku Razaleigh.

"Masalahnya, hari ini saya melihat Ku Li (Tengku Razaleigh) mungkin mengumpan parti untuk buat sesuatu kepada beliau kerana saya nampak dia tidak akan keluar parti.

"Dia tidak akan buat kesilapan yang sama dua kali ketika keluar parti dahulu, dia mengumpan kepimpinan parti untuk memecatnya atau dikenakan tindakan kerana mahu dianggap sebagai hero," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Karnival Belia dan Sukan Negeri Kelantan anjuran Pemuda UMNO Kelantan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Sapian dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Khairy sebelum itu diminta mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, beliau akan menunggu pandangan ahli-ahli UMNO terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan lanjut.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh bertentangan dengan prinsip dan pendirian parti berhubung isu royalti petroleum itu.

"Pemuda menganggap kenyataan Perdana Menteri semalam sebagai satu isyarat kepada kita untuk mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan di akar umbi tentang tindakan yang perlu diambil terhadap Ku Li,'' katanya.

Menurut beliau, ia bukan soal pendirian atau diskriminasi tetapi soal prinsip parti yang telah membuat keputusan berhubung isu pembayaran tunai (royalti).

"Kepimpinan perlu bijak membuat keputusan. Dari satu sudut kalau kita ambil tindakan dia akan ambil kesempatan.

"Tetapi kalau tidak (dikenakan tindakan), dia akan terus mengeluarkan kenyataan serta menjadi duri dalam daging," katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP