Tuesday, February 2, 2010

Khairy selar Azmin tuduh ahli UMNO bakar gereja

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyelar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali kerana menuduh ahli pergerakan itu terlibat dalam insiden membakar gereja di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Beliau berkata, tuduhan Azmin itu bukan sahaja menunjukkan PKR berniat mempolitikkan insiden berkenaan malah ia juga tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana mendahului siasatan polis.

Menurut beliau, sekiranya benar sekali pun empat suspek yang direman itu merupakan ahli UMNO, ia tetap tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya semua pihak perlu mengutamakan kepentingan negara.

"Pendirian UMNO jelas iaitu kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang mana-mana rumah ibadat kerana ia boleh menjejaskan keharmonian yang dikecapi selama ini.

"Malah, kerajaan sendiri menyatakan komitmen jitu untuk mendakwa sesiapa sahaja yang bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat khas exco Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tuduhan terbuka Naib Presiden PKR itu yang mendakwa ahli UMNO menjadi dalang di sebalik serangan ke atas gereja di Desa Melawati.

Azmin dalam dakwaannya berkata, beliau mempunyai bukti yang cukup mengenai pembabitan empat suspek berkenaan dan akan mendedahkan semuanya dalam masa terdekat.

Sementara itu, Khairy mencabar Azmin mengemukakan bukti terhadap dakwaannya jika benar empat daripada lapan suspek yang kini ditahan reman oleh polis merupakan ahli UMNO.

"Tuduhan beliau adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Adalah tidak patut UMNO atau institusi lain dipersalahkan dalam isu sensitif ini.

"Sikap Azmin yang gemar menangguk di air keruh membukti beliau dan pemimpin pembangkang yang lain langsung tidak memikirkan soal kepentingan negara sebaliknya lebih gemar mencari publisiti politik murahan,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai gesaan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang pencegahan bagi meredakan ketegangan ekoran rentetan serangan terhadap rumah ibadat, Khairy memberitahu, buat masa ini undang-undang tersebut tidak perlu.

Katanya, masih banyak undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi mendakwa mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi melalui sentimen keagamaan.

"Apa yang penting, kita perlu bagi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan dan seterusnya mendakwa mereka yang terlibat,'' katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP