Tuesday, January 5, 2010

Perlu bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Isu penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly perlu ditangani dengan bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, konsep adat, budaya, konvensyen, etika dan undang-undang memainkan peranan penting bagi menjamin keharmonian antara kaum.

"Ramai orang bukan Islam di negara ini, menerima hakikat bahawa perkataan Allah dikhaskan kepada orang Islam sahaja.

"Bagaimanapun, saya amat khuatir isu ini akan meletup, oleh itu, ia mesti ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak bertenang dan tidak bertindak terburu-buru berlandaskan emosi semata-mata.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu masih lagi tertakluk kepada proses pengadilan yang lebih tinggi di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jelas Khairy, telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

''Saya harap semua pihak dapat menunggu proses rayuan diselesaikan," katanya.

Beliau mengakui perkara tersebut amat sensitif kepada umat Islam dan Pemuda UMNO amat khuatir ia boleh mengundang kepada keadaan yang lebih tegang.

Justeru, katanya, perkara terpenting yang perlu dilakukan adalah memastikan keadaan tidak menjadi lebih tegang sehingga boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz berkata, perasaannya bercampur-baur antara sedih, kecewa dan takut dengan keputusan itu yang bakal membawa impak terlalu besar sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin.

"Saya amat berharap Majlis Raja-Raja tampil memainkan peranan mereka dan lindungi hak Melayu beragama Islam di negara ini.

"Perkataan Allah adalah kalimah paling suci bagi agama Islam yang tidak boleh dipermain dan dipersenda tanpa sebarang alasan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara.

"Penerbitan bahan-bahan mengenai Kristian menggunakan perkataan Allah boleh mengelirukan penganut agama Islam di negara ini. Maka, kerajaan perlu bertegas dan ia tidak salah kerana selari dan selaras dengan Perlembagaan.

"Isu ini amat sensitif, seperti kes Natrah, walaupun saya tidak suka merujuk kepada peristiwa yang sudah lama berlaku itu tetapi kita tidak boleh mengambil sikap mudah dengan berharap semua pihak tidak akan merujuk peristiwa itu," katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP