Tuesday, October 27, 2009

Program 'dividen politik' tumpuan Pemuda

REMBAU 18 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO akan terus memberi tumpuan terhadap penganjuran program yang memberi 'dividen politik' kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketuanya, Khairy Jamaluddin, matlamat utama program berkenaan adalah untuk menarik minat golongan pengundi muda terhadap BN dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kejayaan besar calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang baru-baru ini membuktikan keberkesanan program tersebut.

''Bagaimanapun, butiran terperinci tentang program tersebut masih dirahsiakan dan akan didedahkan setelah dilancarkan kelak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Balai Raya Kampung Gadong dekat sini hari ini.

Menurut Khairy, beliau telah memberi jaminan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang komitmen ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO bagi menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasrat Pas untuk menubuhkan kelab penyokong yang dianggotai oleh golongan bukan beragama Islam tidak memberi sebarang ancaman terhadap BN.

Menurutnya, rakyat lebih bijak menilai keupayaan BN menjaga kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

''Pas telah lama mencadangkan penubuhan kelab tersebut. Namun, sehingga hari ini kita masih belum melihat ia dilaksanakan," kata Khairy.

Jelas beliau, BN tidak perlu gentar dengan hasrat Pas itu kerana formula yang diamalkan menerusi gabungan parti-parti komponen mewakili kaum Melayu, Cina dan India merupakan yang terbaik untuk negara ini.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP