Tuesday, October 27, 2009

Mewujudkan usahawan muda

KUALA KRAU 19 Okt. - Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau mahu kerajaan memandang serius saranan penubuhan Bank Belia atau Bank Pemuda bagi menggalakkan golongan itu bergiat dalam bidang keusahawanan.

Mereka menyifatkan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini tepat pada masanya berikutan kecenderungan minat golongan itu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang semakin tinggi.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Norhasmimi Abd. Ghani berkata, cadangan itu wajar mendapat perhatian kerana ia dapat memberi kemudahan pinjaman perniagaan kepada bakal usahawan.

''Bank Belia perlu berfungsi sebagai pemberi pinjaman mudah tanpa sebarang kawalan ketat yang membantutkan hasrat generasi muda berniaga," katanya.

Khairy ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 Oktober lalu meminta kerajaan menyediakan beberapa inisiatif khas untuk golongan muda menjelang pembentangan Bajet 2010.

Menurut Norhasmimi, penubuhan Bank Belia atau Bank Pemuda mampu menggalakkan golongan itu terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan yang semakin berkembang pesat pada masa ini.

"Kumpulan terbabit kini berhadapan dengan masalah kekurangan pekerjaan yang menuntut kerajaan menyegerakan usaha menyelesaikan masalah mereka,'' katanya.

Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Rohaiza Hashim menegaskan, idea Ketua Pemuda UMNO itu perlu direalisasikan demi masa hadapan kaum bumiputera di negara ini.

"Kewujudan Bank Belia itu mampu menggerakkan usaha mencapai matlamat mewujudkan masyarakat perdagangan dan keusahawanan bumiputera di negara ini,'' katanya.

Setiausaha Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Norzalila Ahmad pula berkata, walaupun ada institusi yang bersedia mengeluarkan dana membantu belia berniaga tetapi mereka terpaksa mematuhi prosedur agak ketat.

''Kewujudan Bank Belia jika menjadi kenyataan mungkin menjadi institusi kewangan yang paling telus dan mudah mengeluarkan pinjaman kepada individu tanpa masalah besar,'' katanya.

Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Kuala Krau, Hanisah Hamzah berpendapat, kewujudan Bank Belia akan dapat menangani masalah ceti haram atau 'ah long.'

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Hillmi Mohamed berkata, Khairy mencetuskan idea yang baik apabila menyarankan kerajaan mewujudkan Bank Belia terutama kepada golongan muda bagi mendapatkan modal dan pembiayaan perniagaan.

Katanya, kebanyakan belia menghadapi masalah modal untuk memulakan perniagaan berikutan tiada institusi kewangan yang komited membantu mereka.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, Abdul Rahman Ahmad memberitahu, penubuhan Bank Belia merupakan alternatif dalam membantu golongan muda memperoleh dana untuk memulakan perniagaan.

''Kewujudan Bank Belia untuk membantu usahawan muda itu perlu direalisasikan bagi melahirkan masyarakat niaga di kalangan Bumiputera,'' katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP