Friday, August 21, 2009

Khairy: Jawab tiga soalan saya



Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau masih menunggu jawapan daripada Pakatan Rakyat berhubung tiga isu besar yang dibangkitkannya dalam kempen pilihanraya kecil DUN Permatang Pauh.

Pertama, katanya ialah isu pengundi hantu dalam pilihanraya kecil ini; kedua, mengapa PAS tidak mendapat kerusi exco dalam kerajaan negeri Pulau Pinang; dan ketiga, mengapa tiada sebarang rancangan atau pelan pembangunan buat rakyat sekiranya calon PAS menang di Permatang Pasir.

Menulis dalam blognya, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menegaskan, ketiga-tiga persoalan pokok tersebut telah ditujukan kepada pakatan pembangkang sewaktu berceramah di Jalan Kubang Semang, Permatang Pasir.semalam.

Mengenai pengundi hantu, Khairy berkata, pergerakan itu mengesyaki ada usaha besar-besaran dari PAS untuk memindahkan pengundi mereka dari kawasan DAP yang berhampiran, ke kawasan PAS (Permatang Pasir).

“Ini kerana PAS sedar undi Melayu berpecah dua, maka untuk menjamin kemenangan, mereka terpaksa bermain kotor supaya lebih ramai pengundi "setinggan" mereka ini dipindah ke kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“Tidak seperti dakwaan pihak lawan, Pemuda Umno tidak menabur fitnah semata-mata – kami sudah pun menyerahkan bukti fenomena ini,” tulisnya.

Menurut Khairy lagi, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, berserta bukti pengundi hantu atau "setinggan" itu.

Menurutnya, Pemuda Umno mendapati terdapat pengundi yang didaftarkan di rumah tertentu yang tidak dikenali pun oleh tuan rumah.

Tiada kerusi exco

“Adakah PAS begitu takut berlawan dengan Umno di gelanggang yang rata sehingga perlu menipu untuk menang?

“Jika tidak, saya menggesa pihak PAS memberi penjelasan mengenai isu ini kerana Pemuda Umno sudah pun memberi contoh nyata hal pengundi hantu dari PAS,” katanya.

Khairy juga mendakwa, PAS dan DAP tidak dapat menjawab persoalannya mengapa PAS tidak mendapat kerusi exco kerajaan negeri Pulau Pinang meskipun kerajaan negeri itu dilabel sebagai "Kerajaan Pakatan Rakyat".

Beliau mendakwa, Ketua Menteri, Lim Guan Eng 'seperti biasa' mengelak isu sebenar dan tidak mampu memberi apa-apa jaminan bahawa calon PAS, Salleh Man akan dilantik selaku wakil PAS dalam exco kerajaan negeri sekiranya menang 25 Ogos ini.

“Usahlah YB "Jeff" Ooi dan konco-konconya dalam DAP mengaburi mata rakyat; tak jemu-jemu mengungkit isu saya, selaku ketua Pemuda Umno Malaysia, tidak dilantik sebagai menteri sebagai alasan untuk PAS tidak diwakili dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kanak-kanak di bangku sekolah pun boleh membezakan antara seorang individu seperti saya ini, dan sebuah parti besar seperti PAS, yang diketepikan dan diaibkan oleh DAP yang berperanan seakan buli dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Khairy juga mendakwa, calon PAS di DUN Permatang Pasir tidak diberi penghargaan sewajarnya oleh DAP, kerana sepanjang kempen, beliau tidak langsung mendengar sebarang pelan pembangunan buat rakyat di situ sekiranya calon PAS menang.

'Saya tunggu jawapan'

“Apapun kelemahan dan kecacatan kempen pilihan raya BN, sekurang-kurangnya kami menerangkan kepada rakyat intipati perjuangan kami untuk mereka sekiranya menang.

“Timbalan perdana menteri sendiri sudah menjanjikan status anak emas kepada kawasan Permatang Pasir ini jika BN menang, dengan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan mahupun kemudahan awam yang sememangnya diketagihi kawasan Permatang Pasir.

“Barangkali dengan kesedaran bahawa beliau tidak mungkin dapat kerusi exco jika menang, Tuan Haji Salleh Man (kiri) pun tidak berani menjanjikan apa-apa pembaharuan positif buat penduduk Permatang Pasir,” tambah Khairy.

Kerana itulah, katanya, PAS lebih suka menyerang keperibadian calon BN kerana ketandusan modal politik yang sebenar.

“Terbaru, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, mendakwa (calon BN) Rohaizat (Othman) mempunyai isteri kedua di Pahang dalam usaha mempersoal lagi keperibadian calon BN.

“Dakwaan ini sudahpun disangkal oleh Rohaizat sendiri. Tetapi yang peliknya, kalau benar pun saudara Rohaizat (kanan) mempunyai isteri kedua, mengapa pula PAS mahu membongkarkannya seolah-olah ini suatu perbuatan yang keji di mata PAS?

“Sejak bila pula PAS menjadi anti-poligami?” soal Khairy sambil menegaskan bahawa selama ini pembangkang menurutnya, tidak pernah segan silu cuba menyerang peribadi calon BN dalam mana-mana pilihan raya pun.

“Namun, kali ini strategi hina ini digunapakai sehinggakan segala persoalan sebenar yang memberi impak kepada rakyat dan pengundi Permatang Pasir ini langsung tidak diendahkan.

“Saya menanti sebarang jawapan dan respon dari pihak pembangkang,” tegas Khairy.

Sumber Malaysiakini

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP