Monday, August 24, 2009

Jangan salah guna kuasa Menteri Besar - Khairy

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta tidak melakukan penyelewengan atau salah guna kuasa bagi membolehkannya membayar hutang bernilai RM66.67 juta dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah tersebut tidak seharusnya dibuat memandangkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang telah mendakwa ia mengamalkan sistem pentadbiran yang telus.

''Ini bukan satu jumlah hutang yang kecil. Saya berharap jangan sampai ada penyelewengan atau salah guna kuasa selaku Menteri Besar kerana hendak menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur semalam yang memerintahkan Abdul Khalid supaya melunaskan pinjaman berjumlah AS$18.52 juta (RM66.67 juta) kepada BIMB yang digunakan untuk membeli saham Guthrie Berhad lapan tahun lalu.

Khairy ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 26 April 2007, pernah mendedahkan Abdul Khalid yang menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu telah membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat perladangan tersebut.

Sekiranya rayuan Menteri Besar Selangor itu gagal, kata Khairy, pihaknya mahu beliau mendedahkan langkah-langkah yang akan dibuat bagi membayar hutang tersebut.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berkata, isu hutang Abdul Khalid itu pernah dibangkitkannya pada sesi sidang DUN Selangor.

''Selama ini beliau cuba menyorokkan masalah hutang beliau. Saya pernah bertanya dalam DUN tetapi beliau mengelak untuk memberikan penjelasan.

''Beliau juga telah berbohong kepada rakyat Selangor apabila tidak mendedahkan jumlah hutang dengan BIMB dalam pengisytiharan harta yang telah beliau muatkan dalam Internet. Saya percaya mungkin ada banyak lagi hutang tersorok yang tidak diketahui umum.

''Saya berharap beliau dapat berlaku jujur dengan memberitahu umum semua masalah kewangannya, supaya rakyat tahu bagaimana beliau akan menyelesaikan semua hutang dan daripada mana punca datangnya wang itu," katanya.

Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor berharap, rakyat negeri itu dapat berfikir dengan lebih jelas apa yang akan berlaku pada negeri terkaya di Malaysia kerana ia kini ditadbir seorang Menteri Besar yang kononnya hebat tetapi menghadapi kemungkinan muflis.

''Beliau selalu bersikap bangga diri dengan menyatakan dia adalah tokoh korporat hebat yang telah merancang ekonomi Selangor dengan teori ekonomi andaian.

''Andaian pendapatan pasir RM170 juta, tetapi realitinya hanya dapat RM4 juta. Pembuangan kakitangan anak syarikat kerajaan negeri juga telah berlaku dan ada cadangan penutupan Perbadanan Pertanian Selangor.

''Semua ini adalah antara petanda kewangan Selangor dalam keadaan tenat dan saya tidak terkejut jika negeri ini juga akan menagih simpati Kerajaan Pusat untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti Kelantan," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan paling bermaruah yang boleh dilakukan Abdul Khalid ialah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

''Ini bagi membolehkan beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah peribadinya.

''Beliau telah membuat kenyataan boleh membayar hutang berkenaan. Kita hendak beliau bersikap telus untuk menerangkan kepada rakyat daripada mana dia dapat mengumpulkan wang sebanyak itu,'' katanya.

Mengulas isu sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, isu terbaru itu membuktikan kewibawaan Menteri Besar berkenaan kini menjadi tanda tanya semua pihak.

''Beliau sebenarnya telah gagal dalam mentadbir negeri Selangor berikutan timbulnya banyak isu ketika pemerintahannya dan ini termasuk cadangan menggunakan wang zakat untuk membiayai pentadbiran,'' katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP