Wednesday, June 10, 2009

Nasharudin diharap teruskan agenda perpaduan UMNO-Pas

Kejayaan Nasharudin Mat Isa mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Pas diharap mampu meneruskan agenda muzakarah UMNO-Pas ke arah membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Pas.

Malah katanya, pergerakan itu sudah mula membincangkan tentang kemungkinan mengadakan muzakarah dengan Pas sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

''Mungkin belum sampai ke tahap membentuk pakatan yang rasmi. Diharapkan dengan kemenangan Nasharudin, agenda ini dapat diteruskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan Bakti Remaja yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Mengenai percanggahan pendapat di kalangan pemimpin Pas dan parti lain dalam pakatan pembangkang tentang pembentukan kerajaan perpaduan, beliau berkata, ini menunjukkan perpecahan yang ketara di antara mereka berhubung isu berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan seolah- olah tiada perbincangan tentang dasar-dasar yang ingin dilaksanakan di kalangan pemimpin pembangkang.

''Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata idea itu mendapat penerimaan daripada pakatan pembangkang.

''Tapi mereka tidak setuju dan timbulkan percanggahan ideologi di kalangan pakatan sampai satu tahap kritikal seolah-olah tiada perbincangan tentang dasar pembangkang," ujarnya.

Katanya, ini berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai Dewan Tertinggi sebagai forum rasmi untuk membincangkan dasar parti.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Pemuda UMNO sedang melatih lebih ramai penceramah untuk menganjurkan lebih banyak perjumpaan agar maklumat dapat disampaikan dengan baik kepada rakyat.

Dalam hal ini beliau berharap Jawatankuasa Penerangan UMNO tidak hanya menyampaikan maklumat kepada ahli-ahli parti saja, sebaliknya penyebaran maklumat perlu lebih meluas kepada segenap lapisan rakyat.

Mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai di Kelantan jelasnya, Pemuda UMNO sedang membuat persiapan untuk menggerakkan jenteranya di kawasan itu.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP