Tuesday, May 12, 2009

Perlu proaktif bantu golongan miskin




Ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Rembau disaran supaya sentiasa bersikap proaktif dalam usaha mengenal pasti golongan miskin yang layak menerima bantuan daripada kerajaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin berkata, ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian berkenaan perlu bertindak selaku 'mata' dan 'telinga' kepada wakil rakyat bagi menjayakan agenda membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau memberitahu, matlamat itu boleh dicapai dengan kerjasama ahli-ahli Puteri UMNO serta UMNO cawangan.

''Selaku sayap politik, Pemuda dan Puteri UMNO tidak mempunyai peruntukan kewangan yang banyak untuk membasmi kemiskinan. Namun, kedua-dua pergerakan terbabit boleh menyalurkan maklumat kepada saya melalui UMNO cawangan bagi memohon peruntukan Parlimen atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," ujarnya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Taufik Atin, 65, yang lumpuh seluruh anggota badan ekoran serangan angin ahmar di rumahnya di kawasan petempatan Program Pembangunan Masyarakat Setempat Kampung Legong Ulu, Kota dekat sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Cawangan Kampung Legong Ulu, Zazali Ahmad; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Legong Ulu, Nazaruddin Mohd. Yusof serta Ketua Puteri UMNO cawangan yang sama, Norazila Ramli.

Taufik merupakan seorang penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal setelah hilang keupayaan untuk bekerja.

Dia turut menerima bantuan segera sebanyak RM1,000 melalui peruntukan Parlimen Rembau sumbangan Khairy bagi membaik pulih rumah yang didiami keluarganya.

Dalam pada itu, jelas Khairy, taraf hidup golongan miskin di sekitar Parlimen Rembau akan dipertingkat dengan membabitkan mereka secara langsung dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang berupaya menjana pendapatan.

''Memandangkan golongan tersebut tidak mempunyai modal, mereka perlu diberi bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan atau aktiviti pertanian.

''Justeru, saya berharap agensi-agensi yang berkenaan mengurangkan kerenah birokrasi berhubung permohonan pinjaman kewangan kepada golongan miskin yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka," kata beliau.

Menurutnya lagi, usaha menarik kegiatan pelaburan ke daerah ini akan dilaksanakan dengan lebih giat supaya kesan limpahannya turut dinikmati oleh masyarakat setempat khususnya golongan miskin.

10 MEI 2009 - TURUN PADANG PENDEKATAN PALING TEPAT BAGI KHAIRY

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP