Wednesday, May 20, 2009

Bukan takut tapi protes – Khairy

KOTA KINABALU 19 Mei – Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Penanti pada 31 Mei ini bukan kerana takut kalah, tetapi protes terhadap pembangkang yang memperalatkan sistem demokrasi di negara ini.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, tidak timbul soal gentar kerana jika BN meletak calon di Penanti, tindakan itu menunjukkan BN menyokong pembangkang dalam memperlekeh demokrasi.

“Kita tidak perlu bertanding, ini (pilihan raya) agenda pembangkang, ini protes kita terhadap pembangkang yang hanya memainkan sistem demokrasi dengan cara mengadakan pilihan raya.

“Adalah lebih bermaruah untuk tidak bertanding kerana saya rasa kita mempertahankan maruah kita dengan tidak ambil bahagian dalam pilihan raya kecil yang memperlekeh institusi demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Sabah yang pertama di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Khairy mengulas dakwaan pembangkang yang mengandaikan sebab utama BN tidak meletak bertanding di Penanti adalah kerana takut kalah.

Khairy berkata, bukti BN tidak takut boleh dinilai melalui penyertaannya dalam dua pilihan raya di Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak baru-baru ini.

“Macam mana kata kita (BN) penakut sedangkan kita bertanding dalam setiap pilihan raya kecil contohnya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, pilihan raya kecil di Penanti adalah permainan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), oleh itu BN tidak perlu mengikut rentak mereka.

Menurut beliau, punca utama PKR mahukan pilihan raya ialah berdepan masalah dalaman parti itu selain tidak boleh berhenti daripada berpolitik setiap masa.

Katanya, keputusan BN tidak bertanding adalah tepat kerana kerajaan boleh menumpukan usaha membangunkan negara daripada terus diseret ke kancah politik yang tidak berkesudahan.

Mengenai rasuah dalam Pas, beliau berkata:

“Kita tengok apa berlaku dalam Pas pada pemilihan bulan depan tetapi yang pastinya pergolakan bukan dalam UMNO saja tetapi juga parti lain.”

1 comments:

pemuda umno kemaman May 31, 2009 at 12:25 PM  

http://pemudaumnokemaman.wordpress.com/

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP