Saturday, February 28, 2009

Malaysiakini : Pemuda mahu Karpal disiasat - KJ



Naib Ketua Pergerakan UMNO, Khairy Jamaluddin akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat untuk meminta sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam.

Beliau berkata, siasatan perlu dibuat meliputi apa juga provokasi yang berpunca daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

''Saya tidak mahu seolah-olah jawatankuasa yang ditubuh untuk siasat Pemuda UMNO sahaja sebab semalam Parlimen luluskan usul siasat tindakan Pemuda UMNO Selangor yang masuk ke Parlimen tanpa izin.

''Saya rasa kita juga perlu siasat apa juga provokasi yang datang daripada seorang ahli Parlimen iaitu Karpal kerana ia sama penting. Jangan kita hanya berat sebelah, siasat Pemuda UMNO tanpa melihat punca segala masalah," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di Kedah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kekecohan yang berlaku di perkarangan bangunan Parlimen semalam apabila sekumpulan ahli Pemuda UMNO Selangor mendesak karpal meminta maaf kerana menuduh anggota pergerakan itu mengirim dua butir peluru ke kediamannya.

Kumpulan tersebut juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan ungkapan 'celaka' yang dibuat oleh Karpal.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, punca segala masalah bukannya Pemuda UMNO tetapi Karpal dan beliau akan cuba untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, Karpal perlu menghentikan provokasi serta tuduhan liar, gila dan berniat jahat yang dibuatnya itu sehingga menyebabkan seluruh 700,000 ahli pergerakan berkenaan hilang kesabaran.

''Inilah sebenarnya menimbulkan kemarahan, melibatkan Pemuda UMNO Selangor yang pergi ke Parlimen, inilah kemarahan dicetuskan Karpal sendiri, provokasi dibuat Karpal telah menimbulkan keadaan tegang," tambah beliau.

Katanya, kemarahan Pemuda UMNO tidak dapat dibendung apabila pergerakan itu dipanggil 'celaka' dan dituduh hantar peluru pistol dan sebagainya.

''Kalau kita melihat yang menjadi mangsa bukanlah Karpal sedangkan beliaulah yang memulakan segala-galanya, beliaulah yang bermula bermain dengan api dan apabila api itu tak dapat dipadam kerana provokasinya, janganlah persalahkan UMNO," kata beliau.

Khairy berkata, Karpal tidak bertanggungjawab dengan tuduhan dan dakwaan beliau serta seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan serta ketandusan modal.

Katanya, beliau telah cabar Karpal dalam tempoh 24 jam supaya beri penjelasan, tapi sehingga kini masih tidak. Sebagai kesimpulan apa yang disebut oleh Karpal dua hari lalu adalah rekaan.

''Ia adalah satu fitnah yang membuktikan beliau seorang penipu dan pengecut kerana sebut dalam Dewan Rakyat di mana beliau ada kekebalan dari segi undang undang, kalau dia berani mestilah dia mengulangi tuduhan itu di luar dewan," katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP