Wednesday, February 18, 2009

Malaysiakini : Khairy vs Mukhriz dan Khir Toyo


Tiga calon Ketua Pemuda Umno berkongsi pentas malam ini dengan Khairy Jamaluddin menafikan yang Umno berada dalam krisis yang teruk, manakala Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula sependapat bahawa Umno perlu pembaharuan dan perubahan untuk terus relevan.

Khairy bersetuju bahawa Umno perlukan pembaharuan tetapi menekankan bahawa "Umno tidak seteruk yang digambarkan, bukan parti yang ditolak dalam pilihanraya umum lalu".

Menurutnya, Umno tidak sampai ke tahap krisis yang teruk,tetapi Barisan Nasional (BN) dihukum dalam pilihanraya umum lalu kerana "kita tidak dapat menguruskan kemenangan besar yang kita perolehi pada 2004".

"... (kita) mesti kembali ke situ," katanya dalam program mingguan 'Hujah' yang disiarkan secara langsung oleh TV9 malam ini.

Dalam program tersebut, pengerusinya Prof Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengemukakan soalan kepada ketiga-tiga mereka mengenai Umno, pertandingan ketua Pemuda Umno, isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Program tersebut diadakan di Dewan Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DEB) yang dihadiri kira-kira 350 orang termasuk pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UKM.

Menurut Khairy lagi, negara berada dalam persekitaran yang berbeza daripada dahulu.

Khairy: Persekitaran berbeza

"Kita berada di persekitaran politik yang terbuka di mana banyak isu diperbahas secara terbuka di internet dan blog, maka harapan rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat," katanya.

Namun begitu, katanya, kerajaan BN telah meningkatkan usaha seperti menentang rasuah dan mempertingkatkat institusi kehakiman.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ia bukan tugas yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Kita jangan lihat, peralihan kuasa dan pembaharuan, akan selsesaikan semuanya," katanya.

"Tapi (jika) peralihan kuasa itu tidak diikuti langkah memenuhi janji-janji kita, maka perubahan itu adalah sia-sia sahaja," katanya.

Dr Khir pula berkata Umno bukan sahaja memerlukan pembaharuan dan perubahan tetapi juga perlu menangani soal persepi buruk yang dilabelkan oleh pembangkang terhadapnya.

"Bila bercakap tentang politik, ia adalah mengenai persepsi... Persepsi yang diberi pembangkang (terhadap Umno) buruk sekali... Umno tidak mesra rakyat, sombong...

"Bila Umno tidak dilihat memperjuangkan bangsa dan agama, atau jati diri, (maka) jadi orang yang meluat dengan Umno akan menyertai parti lain...," tegasnya.

Oleh itu, katanya Pemuda umno perlu berusaha menggarapkan semula Umno yang dulunya berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Malah, tegas Dr Khir, rata-rata anggota Pemuda Umno sendiri - bila ditanya tujuan mereka menyertai Umno - jarang boleh menjawabnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya bagi pergerakan itu memperbanyakkan kursus wajadiri di kampung dan bandar.

Manakala Mukhriz pula berkata, Umno telah agak terpesong dari halatuju asal parti itu sejak tahun 2004 dan ia merupakan antara sebab rakyat hilang kepercayaan kepada Umno dan BN.

"Bila ini berlaku, maka merundum sokongan dari rakyat, Perbezaan keputusan pilihanraya umum 2004 dan 2008 seperti langit dan bumi..," tegasnya.

Usaha untuk memulihkan semula Umno, menurut Mukhriz, memerlukan rombakan di peringkat kepimpinan tertinggi kerana parti memerlukan kepimpinan yang tegas.

"Kita sudah menyimpang dari perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair... Rakyat tidak lihat kita benar-benar berpegang kepada perjuangan kita.

"Ucapan kita sudah jadi retorik, dan orang kata kita retorik dan tidak amalkan apa yang kita cakap...," katanya.

Berikutan itu, tambahnya, lahir banyak NGO yang telah mengambil alih peranaan Umno dan mendapat sokongan dan ramai ahli.

Prof Agus turut bertanya mengenai Pemuda Umno yang menurutnya di mana sahaja hanya bercakap mengenai orang Melayu, sedangkan parti-parti komponen BN yang lain tidak begitu.

Contohnya, kata beliau, parti Gerakan telah membuat laporan polis berhubung keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilaporkan terancam serta Wanita MCA yang memberi sokongan kepada Elizabeth Wong ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.

Menjawab soalan itu, Dr Khir berkata: "Kita harus lihat orang Melayu sebagai tunggak kepada politik Malaysia, jika tumbang politik Melayu, maka akan tumbang politik negara, jadi tidak boleh samakan Umno dengan MCA dan Gerakan."

Ditanya mengenai kekalahan kerajaan BN pimpinannya di Selangor, Dr Khir menjelaskan bahawa kekalah BN bukan di Selangor sahaja, malah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak juga, yang berpunca daripada isu-isu nasional.

Malah, katanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah kalah dalam pilihanraya umum 1969 manakal Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden pada 1993.

"Kita belajar dari kekalahan," katanya sambil menegaskan bahawa semangat Melayu tidak pernah luntur.

Mengenai ISA

Mengenai ISA pula, Khairy berkata, tentangan generasi muda terhadap penggunaan akta tersebut cukup meluas.

Berikutan itu, kata naib ketua Pemuda Umno itu, penjelasan tentang ISA perlu dibuat kepada generasi muda.

“ISA adalah proses yang dibuat oleh seorang sahaja iaitu menteri dalam negeri tanpa perlu proses mahkamah.

“Tetapi kita perlu undang-undang untuk mencegah keselamatan negara, saya tidak takut berbahas dengan pembangkang mengenai perkara ini,” katanya.Manakala Dr Mohd Khir pula mendakwa, tindakan kerajaan dalam isu penghinaan terhadap Raja-raja Melayu amat lemah.

Menurutnya, rakyat kecewa kerana kerajaan lambat bertindak kerana mereka mahu kerajaan mengatasi isu itu dengan segera.

“Saya difahamkan sudah ada lebih 100 laporan terhadap Karpal Singh tetapi belum ada tindakan.

“Kekecewaan rakyat ini menyebabkan mereka mengadakan demontrasi,” katanya.

Menurut Dr Mohd Khir, Raja-raja Melayu tidak boleh didakwa kecuali di mahkamah khas yang membabitkan isu-isu peribadi mereka.

Sementara Mukhriz pula berkata, kepimpinan perlu tegas menjalankan undang-undang untuk menjaga keamanan negara.

Katanya, kepentingan rakyat hendaklah terjaga dan terbela.

“Orang yang mengadakan demonstrasi jalanan, kita tidak menggunakan ISA dan keadaan ini menyebabkan keputusan pilihanraya tidak memihak kepada kita,” katanya.

Mukhriz menegaskan kepimpinan negara yang tegas sangat penting untuk menghasilkan kejayaan.

DEB, Ketuanan Melayu

Bercakap tentang ketuanan Melayu, Dr Khir berkata, persoalan hak istimewa orang Melayu dan kontrak sosial tidak perlu dipersoalkan kerana ia dijamin dalam perlembagaan.

“Kalau tidak puas hati, bawa ke parlimen, pinda perlembagaan, barulah menjadi seperti negara Barat, kalau itulah yang diidamkan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa isu ketuanan Melayu sama sahaja dengan ketuanan rakyat yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya idea kesamarataan antara kaum dan agama yang dikemukakan Anwar harus dibimbangkan kerana perkara itu telah dijamin dalam perkara-perkara tertentu seperti Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Khairy pula menolak dakwaan bahawa agenda ketuanan Melayu merupakan isu perkauman. Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan agenda nasional.

“Kalau tidak selesai masalah pribumi, ia akan menjadi masalah negara,” katanya.

Tambahnya, kefahaman tentang kontrak sosial perlu dibincangkan berdasarkan semangat perkongsian kuasa.

Bercakap tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), ianya dipertahankan oleh Mukriz dengan alasan ianya “telah betul dari awal” dan diiktiraf pelbagai pihak, antaranya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Ia juga dicontohi di beberapa negara Afrika,” katanya menjawab soalan sama ada Malaysia memerlukan pakej ekonomi baru.

Manakala Dr Khir pula mengakui bahawa Malaysia memerlukan pakej baru. Beliau bercakap demikian ketika mengiyakan soalan pengerusi sama ada sebuah pakaj ekonomi baru diperlukan atau tidak.

“Sudah 31 tahun, keadaan sudah berbeza,” katanya.

Pakej baru itu, tambah beliau, hendaklah memberi penekanan ke arah mendekatkan jurang pendapatan dan kualiti hidup rakyat.

“Ini tidak, yang miskin terus tertinggal, yang kaya terus terbelai,” katanya.

Mengulas isu PPSMI

Calon-calon ketua Pemuda Umno juga turut dilontar persoalan mengenai PPSMI.

Khairy dan Mukhriz masing-masing bersetuju dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) patut dipinda.

Bagaimanapun, kedua-duanya berbeza pandangan tentang sejauh manakan pindaan yang harus dibuat terhadap dasar yang diperkenalkan sejak enam tahun lalu.

Menjelaskan lanjur pendiriannya, Khairy mendakwa konsisten bercakap berkenaan isu tersebut sejak daripada dulu lagi.

Menurut beliau, dasar itu perlu dipinda kerana sejak diamalkan, “kerana keberkesanannya (PPSMI) tidak terbukti terutama di kawasan luar bandar”.

“Banyak cadangan diterima, antaranya dipinda di peringkat sekolah rendah, tetapi diteruskan di (peringkat) sekolah menengah. Pada pandangan saya, dasar ini perlu pindaan di peringkat sekolah rendah sekurang-kurangnya.

“Dalam masa yang sama, penguasaan bahawa Inggeris mesti dipertingkatkan melalui penambahan masa mengajar,” tambah beliau.

Mukhriz - ketika mengulas dasar yang diperkenalkan oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad - berkata: “Kalau pinda sikit-sikit boleh dipertimbangkan.”

Beliau dilihat memilih jalan lebih berwaspada dengan berkata, penekanan harus diberikan kepada bangsa melebihi bahasa.

Beliau malah memulakan hujahnya dengan berkata: “Perkara ini amat sensitif, apatah lagi dibincangkan di Dewan Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),”

Katanya, keutamaan harus diberikan kepada bangsa supaya kedudukan orang Melayu akan setanding dengan bangsa-bangsa lain.

“Dasar tersebut dibuat supaya orang Melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Bahasa Inggeris juga penting. Saya harap ia diteruskan dengan sedikit pindaan. Bangsa perlu diutamakan.

“Kalau pindaan sikit-sikit daripada sekolah rendah ke sekolah menengah, itu boleh dipertimbangkan,” katanya.

Manakala Dr Khir tidak menyentuh isu tersebut.

Sumber malaysiakini

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP