Thursday, November 13, 2008

Ketua Pemuda UMNO : Khairy melawan arus…



“Apa boleh buat...Saya kenalah terima,” kata Khairy Jamaluddin mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa beliaulah antara punca Barisan Nasional (BN) dilanda tsunami politik pada pilihan raya ke-12, Mac lalu.

Ini semua berkisar pada dakwaan bahawa Naib Ketua Pemuda UMNO ini sangat berpengaruh ke atas bapa mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga wujud istilah tangan-tangan ‘tingkat 4’ di pejabat Perdana Menteri.

Proses peralihan kuasa dan menjelang tiadanya Perdana Menteri di belakangnya nanti dikatakan membuat rating nya untuk menang jawatan Ketua Pemuda UMNO yang satu ketika dahulu dilihat bagai kacang saja kini agak kelabu.

Ahli Parlimen Rembau itu mengakui kepada Agendadaily semasa berbual di kantin Parlimen Khamis, bahawa berbagaibagai tanggapan negatif terhadap dirinya mempengaruhi kedudukannya untuk berdepan dengan jawatan nombor satu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Mac tahun depan.

“Saya terima dari segi tanggapan itu wujud, tetapi saya tak boleh terima bahawa tanggapan itu betul. Selama inipun, saya ada jelaskan. Ada yang dengar, ada yang tak mahu dengar,”

“Kalau dia orang tak boleh terima saya dan saya masih boleh terima keputusan mereka…kalau mereka tak nak juga, saya kenalah terima (tanggapan),” katanya.

Selain itu, Khairy juga berdepan dengan persepsi ‘ tak masuk geng’ sebagai orang yang tidak sesuai dan boleh mencacatkan pandangan terhadap pentabiran baru di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mac 2009 nanti.

“Itu semua tanggapan… Ini tidak adil buat saya. Kenapa saya tak boleh masuk (pegang jawatan dalam UMNO). Kenapa perlu ada geng. Kalau ada geng pun, hanya geng UMNO. Kita semua geng UMNO,” katanya.

Menjawab soalan bahawa beliau akan terus berada dalam UMNO sebagai bayang-bayang Pak Lah, Khairy berkata, “ Itu bukan soal sapa-sapa. Ini soal imej UMNO dan pada masa akan datang,Datuk Seri Najib adalah Presiden UMNO. Bukan soal imej Pak Lah atau pemimpin lain,”


Ditanya sama ada pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu akan memberi jawapan kepada tanggapan itu, Khairy (sambil ketawa) berkata, “ Tak lah begitu. Sebab nanti, kalau saya kalah, orang kata tanggapan itu betul.

“Bagi perwakilan buat keputusan,” katanya.

Khairy menjelaskan, apa saja yang beliau buat, memang kena buat untuk beri pandangan yang jelas tentang perjuangannya terhadap parti.

“Kita jangan beri tanggapan umum atau tanggapan ahli-ahli UMNO itu dibuat atas tanggapan yang tidak betul,” ujarnya.

Mengenai jumlah pencalonan dan kedudukan ke tiga di belakang Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo setakat hujung minggu lalu , beliau menganggap kedua-dua calon itu mungkin lebih popular.

Bagaimanapun, beliau menilai masuk fasa ke dua nanti iaitu selepas proses pencalonan semua calon mempunyai peluang merebut jawatan tersebut.

Menurut Khairy tempoh lima bulan menjelang pemilihan bulan Mac nanti adalah satu tempoh lama dan penilaian perwakilan boleh dipengaruhi dengan pelbagai cara dan pendekatan, hujah dan sebagainya.

“Kita tak boleh kata penyokong Dr. Khir Toyo akan sokong lagi lima bulan akan datang. Perwakilan kini berfikiran terbuka. Kita jumpa mereka ..tanya soalan dan macam-macam. Sebab itu saya suka cadangan Agendadaily buat debat, biar semua tengok,” katanya.

“Saya bukan mencadangkan untuk tonjol saya seorang…tapi beri peluang pada semua..sebab debat ini gelanggang sama rata…kita tak boleh bawa orang lain, tak boleh bawa penasihat kita dan kita kena jawab dengan fikiran kita sendiri.”


“Kalau betul-betul kita nak mengamalkan meritokrasi dalam politik UMNO, inilah caranya. Kalau tak nak debat ini dijadikan modal pembangkang, buat cara tertutup..tapi lebih baik kita buat terbuka,” katanya.

Kepada satu soalan lain Khairy kata, beliau tidak memikirkan ia satu masalah walaupun banyak bahagian Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak mencalonkannya.

“Tiada masalah, kita kena yakin dengan perwakilan. Masa umum nak bertanding, ada yang tanya peluang saya, saya kata 30 peratus…sekarang betul,” katanya sambil mengakui bahawa beliau bergerak dengan kekuatan sendiri bukannya seperti dikatakan banyak pihak kononnya kekuatan Pak Lah.

Beliau berpuashati dengan proses pencalonan setakat ini secara keseluruhan walaupun ada dengar cerita-cerita politk wang tetapi setakat cakap-cakap sebab tiada bukti.

“ Banyak orang cakap. Tapi kita kena ikut apa keputusan yang dapat. Dan jangan buruk sangka mana-mana pihak tanpa sebarang bukti,” ujarnya.

Sebagai Naib Ketua, Khairy juga berharap perwakilan terutama yang baru dapat menilai rekod beliau selama empat tahun dalam pergerakan itu.

“Saya juga anggap semua calon kini macam diberi kertas putih setelah segala rekod cacat cela masa yang dulu dipadamkan. Kini kita kena go foward ..yang lepas mungkin mereka nak tengok bagaimana kita tunaikan janji kita…dan debat itulah perkara terbaik untuk melihat perkara ini,” katanya .-

AGENDADAILY

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP