Sunday, October 26, 2008

Khairy layak tanding Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang berjaya melepasi kuota untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu hari ini mencadangkan diadakan debat antara semua calon yang bertanding jawatan tersebut.

Beliau mencabar calon-calon sama ada yang sudah layak atau mungkin akan layak menggunakan peluang debat itu bagi menjelaskan wawasan, pendirian dan pelan masing-masing jika memenangi jawatan itu kelak.

“Debat ini dapat memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan pengundi muda termasuk pengundi baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Khairy melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO apabila Pemuda Bahagian Tangga Batu, Melaka mencalonkan beliau untuk jawatan itu hari ini.

Bahagian-bahagian Pemuda lain yang turut mencalonkan beliau ialah Tawau, Gua Musang, Sabak Bernam dan Sembrong.

Pencalonan Sembrong agak istimewa kerana bahagian itu diketuai oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau, turut melepasi kuota pencalonan ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang setakat petang ini sudah mendapat 65 pencalonan.

Seorang lagi calon, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah menerima 32 pencalonan tetapi masih memerlukan tujuh lagi pencalonan untuk melepasi kuota 39 pencalonan yang diperlukan untuk bertanding jawatan itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga berhasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda tetapi beliau menarik diri apabila hanya menerima satu pencalonan setakat ini.

Mengulas mengenai kemampuannya melepasi kuota kelayakan bertanding yang ditetapkan, Khairy mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua Bahagian Pemuda yang mencalonkan dirinya

“Saya bersyukur pada Ilahi dan pada masa sama berterima kasih kepada Pemuda UMNO atas penerimaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada saya sebagai calon jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,” katanya.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP