Friday, September 12, 2008

Perubahan tidak selesai masalah - Khairy

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


SEGAMAT 11 Sept. - Saranan supaya perubahan dilakukan di peringkat pucuk pimpinan UMNO tidak akan menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam parti itu, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, beliau menegaskan, perubahan pucuk pimpinan parti memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk mengkaji bagaimana kaedah memenangi semula hati rakyat dan keseluruhan ahli parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pihak yang mencadangkan dilakukan perubahan dalam pucuk pimpinan UMNO perlu mengemukakan perancangan yang jelas bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

"Kalau hendak bercakap tentang perubahan (pucuk pimpinan), janganlah dengan retorik kosong semata-mata. Sebaliknya, ia mestilah perubahan yang ada perancangan termasuk pendekatan yang ingin diambil dari segi struktur dan akar umbi.

"Janganlah kita hanya meminta perubahan kepimpinan kerana jika kepimpinan diubah sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan segala masalah kita," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang, di sini malam tadi.

Majlis yang diadakan di kediaman Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sekijang, Ayob Rahmat itu turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim dan ketua-ketua Pemuda bahagian seluruh Johor.

Sebelum majlis itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyampaikan bantuan Nur Ramadan kepada 162 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya di Balai Raya Kampung Melayu Raya, di sini.

Khairy berkata, kenyataannya itu tidak merujuk kepada mana-mana kes atau individu, sebaliknya ia adalah pandangan umum.

Katanya, apa yang penting adalah semua ahli UMNO perlu menerima hakikat bahawa BN menjadi kuat hasil daripada sokongan yang diberikan oleh rakyat pelbagai kaum dalam parti komponen BN.

Untuk itu, kata beliau, perjuangan yang dibawa oleh UMNO juga perlu diterima oleh semua pihak tanpa mengira kaum.

"Dalam konteks keutuhan BN, kita perlu menjaga semua parti komponen yang berada dalam parti ini supaya UMNO bukan sahaja boleh diterima di kalangan orang Melayu malah kaum- kaum lain," ujarnya.-Utusan








0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP