Friday, September 26, 2008

Khairy dakwa disekat temui ahli Pemuda

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

KOTA BHARU 25 Sept. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, hari ini mendedahkan beliau disekat daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan itu.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda berkata, situasi itu berlaku di beberapa kawasan yang dihadirinya.

“Saya mempunyai bukti, ada yang memang nak datang tetapi mendapat arahan supaya jangan hadir.

“Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana saya sendiri tidak pernah menyekat mana-mana ahli Pemuda daripada berjumpa dengan pemimpin yang bakal bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Nur Ramadan anjuran bersama Biro Agama Pemuda UMNO Malaysia dengan kerjasama Pemuda UMNO Kelantan dan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh di sini malam ini.

Khairy mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang turut menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO mengenai sekatan oleh sesetengah pihak terhadap anggota parti daripada bertemu dengan pemimpin atau calon yang akan bertanding.

Menurut Mukhriz, ia adalah tidak selari dengan amalan demokrasi apabila ada anggota Pemuda UMNO disekat daripada bertemunya, manakala ada di antara mereka turut tidak dibenarkan bersama-sama di dalam majlis-majlis yang beliau hadiri.

Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mukhriz; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy.

Mengulas mengenai perkara itu, Khairy berkata, semua calon mempunyai kelebihan masing-masing dan perkara paling penting ialah sebuah pertandingan sihat yang kelak tidak akan memusnahkan institusi Pemuda UMNO.

Jelas beliau, perkara yang paling dibimbanginya ialah apabila seseorang calon itu menang tetapi tidak membawa kebaikan kepada parti dan negara akibat daripada perpecahan yang timbul natijah daripada persaingan tidak sihat.

“Bagi saya siapa sahaja yang menang tidak penting tetapi yang paling utama selepas kemenangan itu UMNO dan Pemuda semakin bertambah kuat, perpaduan semakin meningkat dan bukannya terus musnah akibat perpecahan,” katanya.

Khairy yang membawa pendekatan setiakawan dalam usaha merebut jawatan Ketua Pemuda itu yakin seluruh ahli Pemuda bijak untuk menilai dan seterusnya memilih ketua yang mampu memperjuang dan membela nasib ahli serta menguatkan parti dan negara.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP