Wednesday, June 25, 2008

Keputusan dibuat ketika negara hadapi dua krisis serentak: Khairy


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat keputusan ekonomi yang berani dan tidak popular kerana Malaysia tidak pernah menghadapi dua krisis serentak iaitu kenaikan harga minyak dan makanan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan adalah keputusan beramanah, bertanggungjawab dan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang.

“Sejak 1996 sehingga 2008 harga minyak mentah dunia sudah naik 600 peratus tetapi di Malaysia hanya 145 peratus,” katanya semasa membahaskan usul kenaikan harga minyak dan barangan.

Khairy, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, tidak bersetuju dengan cadangan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang mahu Petronas menggunakan pesawat awam berbanding memiliki jet sendiri untuk menjmatkan perbelanjaannya.

Ini kerana Petronas perlu menggunakan jet syarikatnya untuk pergi ke negara seperti Kazakhstan, Iran dan sebagainya untuk meneroka telaga minyak baru.

“Janganlah beri cadangan yang begitu simplistik dan kebudak-budakan,” kata Khairy.

Beliau berkata perbandingan negara ini sebagai pengeluar minyak dengan Arab Saudi, Venezuela dan negara pengeluar minyak lain adalah tidak adil kerana negara berkenaan mempunyai pengeluaran yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Khairy juga mencadangkan agar keuntungan levi yang diperoleh daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus disalurkan bagi menurunkan tarif elektrik kepada pengguna.

Beliau turut membidas cadangan pembangkang kononnya kerajaan yang mahu mereka (pembangkang) tubuhkannya selepas 16 Septemper ini boleh mengurangkan harga minyak, kerana langkah itu akan meningkatkan defisit bajet dan mengakibatkan negara terpaksa meminjam wang.

Katanya apabila negara meminjam wang ia akan menyebabkan “credit rating" negara menurun dan menyebabkan bank konvensional tidak akan memberikan pinjaman.

Pada ketika itu, Datuk Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangun dan dalam keadaan marah membangkitkan peraturan mesyuarat supaya tempat duduknya diubah kerana seringkali tidak diberi perhatian untuk berucap walaupun terlebih dahulu bangun berbanding orang lain. “Ini peraturan mesyuarat. Kalau tidak saya baling buku ni. Dalam peraturan, siapa bangun dulu, dia perlu diberi peluang bercakap.

“Saya walaupun Bebas, saya pernah jadi Ahli Parlimen dua penggal dan boleh dianggap senior. Tak bererti saya (mesti) dianaktirikan walaupun mewakili Bebas,” katanya.

Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata: “Saya dengar YB.”

Lim semasa membahaskan usul itu turut mencadangkan supaya kerajaan menyalur bantuan RM500 sebulan kepada setiap keluarga miskin dengan menggunakan keuntungan Petronas sebagai langkah meringankan beban mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barangan ketika ini.

“Petronas telah dapat lebih RM570 bilion keuntungan sejak ia ditubuhkan dan daripada jumlah ini lebih 60 peratus telah disalurkan kepada kerajaan pusat.

"Mengapa kerajaan tidak boleh berikan kepada rakyat Malaysia setiap keluarga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan? katanya.

Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) dalam perbahasannya menyifatkan cadangan Lim sebagai tidak realistik dan boleh mengelirukan rakyat.

“Saya difahamkan pendapatan kita seluruhnya RM168 bilion, daripada jumlah itu pembangunan RM40 bilion, pengurusan RM48 bilion, pendidikan RM35 bilion, kesihatan RM11 bilion. Setelah tolak ini baki RM7 bilion akan diagih-agihkan kepada 29 kementerian.

“Apakah masuk akal kalau kita nak bagi setiap keluarga RM6,000? Marilah kita bersifat realistik sedikit supaya tidak mengelirukan rakyat,” katanya. — Bernama

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP