Tuesday, March 18, 2008

Separuh Muka Baru Dalam Barisan Pentadbiran Abdullah

Berita Terkini

PUTRAJAYA, 18 Mac - Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinet baru tanpa lapan menteri lama yang menang pada pilihan raya umum lepas, selain melantik dua senator sebagai menteri.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata separuh daripada anggota pentadbirannya kali ini terdiri daripada muka baru.

Barisan pentadbiran baru Abdullah ini adalah berasaskan "semangat perkongsian kuasa dan setiakawan Barisan Nasional" yang mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan lebih berkesan.

Abdullah sendiri mengekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan manakala Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak juga kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor kekal sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Dua orang yang dilantik sebagai senator hari ini ialah Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Amirsham A.Aziz, kedua-duanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Zaid, peguam terkemuka serta bekas anggota Parlimen Kota Baharu, dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman manakala Amirsham akan mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Tiga lagi menteri di JPM ialah Tan Sri Bernard G.Dompok, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lapan menteri yang tidak tersenarai ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz yang dulunya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Dalam Negeri); Datuk Seri Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar); Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Pelancongan) dan Datuk Abdullah Md Zin (Jabatan Perdana Menteri).

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting tidak disenaraikan setelah beliau meminta supaya tidak dipilih semula bagi menumpukan usaha kepada mengukuhkan kembali MCA.

Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn juga tidak dilantik semula.

Keseluruhannya, jumlah anggota pentadbiran Abdullah yang baru berkurangan daripada 90 orang sebelum ini kepada 69 orang sahaja setelah jawatan Setiausaha Parlimen dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata dengan pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen, menteri dan timbalan menteri perlu bekerja lebih keras.Kabinet baru juga menyaksikan Ketua Penerangan Umno Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, dilantik menjadi Menteri selepas 11 tahun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, dengan memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987 Datuk Shahrir Samad juga kembali menganggotai jemaah menteri sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menteri baru yang dilantik ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Penerangan), Datuk Shaziman Abu Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi), Datuk Liow Tiong Lai (Kesihatan), Datuk Dr S.Subramaniam (Sumber Manusia), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan), Datuk Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Ir Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Anggota Parlimen Bera Datuk Ismail Sabri Yaakob, 48, merupakan muka baru yang dilantik terus sebagai menteri penuh iaitu memegang portfolio Belia dan Sukan.

Abdullah juga mengumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menjadi Kementerian Dalam Negeri diketuai bekas Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di JPM diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang akan diketuai Datuk Mohd Shafie Apdal, dulunya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.Banyak perubahan dilakukan Abdullah dalam jemaah Menteri kali ini yang menurutnya bertujuan untuk menjadikan jentera kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Selain Syed Hamid dan Shafie yang bertukar portfolio, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim kini Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (Pengajian Tinggi), Datuk Mustapa Mohamed (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pelancongan).

Menteri yang kekal portfolio lama ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Pelajaran), Datuk Peter Chin Fah Kui (Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan).

Perdana Menteri turut mengumumkan senarai 37 timbalan menteri. Antara muka baru ialah Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad (Sumber Manusia); Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib (Pelancongan); S.K Devamany dan Datuk Hassan Malek, keduanya di JPM; Datuk M.Saravanan (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Joseph Kurup (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Noriah Kasnon (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Antara yang kekal Timbalan Menteri ialah Datuk Johari Baharum kini di JPM, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ke Kementerian Kewangan dan Datuk Dr Latif Ahmad ke Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang sebelum ini Setiausaha Parlimen kini adalah timbalan menteri di JPM selepas dilantik sebagai senator.

Perdana Menteri mengotakan janjinya sebelum ini tidak akan melantik semula mana-mana anggota pentadbirannya yang tewas pada pilihan raya umum lepas.

Bagi komposisi Sabah dan Sarawak, Abdullah mengekalkan jumlah Menteri dari kedua-dua negeri itu tetapi menambah bilangan timbalan menteri.

Bagi Sabah, pengagihan jawatan menteri kekal tiga namun jumlah timbalan menteri bertambah daripada dua kepada empat manakala bagi Sarawak, jumlah menteri tidak berubah iaitu dua tetapi timbalan menteri bertambah daripada empat kepada tujuh.

9 comments:

Bro Jinggo March 18, 2008 at 6:00 PM  

Tahniah Pak Lah diatas penubuhan kabinet yang baru...Penampilan muka baru yang hebat, nampaknya legasi tun sudah hilang kuasa pada hari ini.
Kami tetap menyokong Pak Lah.

Anonymous,  March 18, 2008 at 6:49 PM  

Semoga penubuhan kabinet baru ini dapat memberikan satu perhidmatan yang terbaik untuk negara.

Kami menghormati keputusan yang dilakukan oleh Pak Lah.
Hidup Pak Lah! Hidup Pak Lah!

Anonymous,  March 18, 2008 at 7:19 PM  

Heran ya kenapa menteri-menteri dulu yang telah 'bersama' digugurkan, padahal mereka menang, tak kalah. Mungkin orang kuat Najib, kot! Saya sokong bila Pak Lah kata dia nak semua menteri kabinet barunya buat deklarasi aset masing-masing kepada rakyat...tapi mestilah bermula dengan bos besar dulu. Biar rakyat tahu, BN sekarang tak macam dulu.....

Anonymous,  March 18, 2008 at 7:44 PM  

Heran kapala otak kau! Tak payah lah nak jadi batu api kat sini. Kami orang UMNO tetap bersatu.
Cuma makluk perosak macam kau ni je yang suka dengan perbalahan kaum.

Kau buat keja kau je la. tak payah masuk campur urusan Pak Lah. Kau tak layak nak kutuk Pak Lah. Kau saper bro...

Anonymous,  March 18, 2008 at 9:15 PM  

kenapa KJ takde dlm list menteri?takpelah kerja belakang tabir lagi best...hidup ejen singapore!!

Anonymous,  March 18, 2008 at 9:21 PM  

ada hikmahnya DAP menang besar dan MCA, MIC dan Gerakan banyak tewas dlm PRU12. so dlm kabinet lebih ramai pemimpin UMNO dan melayu. Hidup Melayu! Hidup UMNO!

alpacino March 20, 2008 at 4:21 PM  

mcm mana pun...
satu tundakan yg tepat KJ tidak diserapkan kan kemana2 jawatan dlm kabinet.sabar KJ.pasti ada hikmah.
tiada jln mudah utk meniti kejayaan.
walau apapun,aku pasti kejayaan serta kemenangan di parlimen Rembau akan membuktikan komitmen serta kesungguhn KJ untuk memajukan daerah tersebut setara dgn kemajuan2 yg terdpt dibandar2.
Hidup BN..Hidup UMNO!

zanudin March 23, 2008 at 8:56 AM  

salam....

apa yang hebat sangat dengan menantu pak lah ni..nampak je cam bagus..turun kat kelantan ari tu buat menyemak je..tindakan yang bangang dan satu pengajaran...satu tindakan yang amat bebal dari menantu PL

Anonymous,  April 3, 2008 at 11:43 AM  

Pak Lah ... yang ada iras iras muka berok tak ada ke? Kenapa Ketua Beruk Malaysia tak ada dalam kabinet baru ni pak lah...
dengarlah rintihan ini Pak Lah...

'Pak Lah Kami Nok Natang Beruk(KJ)'

Sepanduk dari kelab penyokong Khairy..........

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP