Wednesday, February 13, 2008

FAM tumpu bangunkan belia

Selama ini badan induk bola sepak itu hanya beri keutamaan kepada Liga M

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mahu memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan peringkat belia serta skuad kebangsaan, bukan lagi hanya memberi tumpuan kepada Liga M yang menjadi pendekatan badan induk itu sebelum ini.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mengakui masih banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan pembangunan belia yang efektif selain daripada tumpuan kepada skuad kebangsaan.

“Sebelum ini FAM lebih banyak memberi tumpuan terhadap Liga M dan kurang tumpuan terhadap pembangunan peringkat belia dan skuad kebangsaan. Pendekatan seperti itu harus diubah kini.

“Pencapaian bola sepak negara dinilai menerusi pencapaian skuad senior kebangsaan dan bukannya liga tempatan. Kerana itu tumpuan wajar diberikan kepada pembangunan belia dan skuad kebangsaan.

“Ketika ini, kami berada di ranking 164 yang menghampiri dasar ranking dunia,” kata Khairy pada sidang media sempena majlis tajaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) semalam.

Khairy juga mengesahkan FAM kini mengadakan perbincangan di peringkat akhir bersama Kementerian Pelajaran, bagi membolehkan kementerian itu mengambil alih pengurusan Akademi Bola Sepak Negeri.

“Kami ingin menyelaraskan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan akademi di mana Kementerian Pelajaran akan memainkan peranan penting manakala kami akan tetap memberi sokongan teknikal.

“FAM mencadangkan satu sekolah dari setiap negeri dijadikan sekolah projek, dan perkara ini sudah saya bincangkan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussien (Menteri Pelajaran) dan kami tunggu pengumuman rasmi mengenai perancangan ini tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Khairy menyambut baik tajaan bernilai RM1 juta daripada Bank Rakyat kepada FAM yang bertujuan untuk penganjuran Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA.

Beliau juga menyuarakan keyakinan saingan bola sepak tempatan masih mempunyai tempat di hati peminat tempatan, walaupun ia kini kerap dibayangi populariti Liga Perdana Inggeris.

“Sebenarnya sudah terdapat peningkatan daripada jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan Liga Super sejak dua musim lalu. Di Kedah, tidak kurang daripada 20,000 penonton datang menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan itu.

“Ini membuktikan minat terhadap bola sepak tempatan sudah kembali tercetus dan saya yakin bola sepak tempatan masih mempunyai nilai pemasarannya tersendiri, ” kata Khairy yang juga Pengerusi Liga Super Malaysia (MSL).

MSL kini sudah berjaya mengumpul jumlah tajaan bernilai RM30 juta berbanding sebanyak RM15 juta sahaja musim lalu.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

About This Blog

Web blog ini bukanlah laman web rasmi YB Khairy Jamaluddin , web blog ini adalah tanda sokongan kami Pro Khairy yang membayangkan sokongan kami tidak pernah terhenti kepada beliau.

Apa juga badai , fitnah dan niat yang tidak baik bukanlah halangan kepada kami yang akan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin kerana nawaitu kami yang mahu melihat pemimpin ini terus gagah di persada politik tanah air.

Kami menulis bukan kerana nama harta atau wang berjuta , kami menulis kerana perjuangan dan kesetiaan yang lahir dari nawaitu yang ikhlas , Kami percaya Allah SWT sahaja yang maha kuasa yang akan menentukan yang boleh menghukum dan memberikan balasan setimpal kepada yang berniat jahat kepada kami dan pemimpin yang kami sayangi.

Kami akan teruskan perjuangkan dan terus menyokong YB Khairy Jamaluddin.

Kumpulan Pro Khairy.


PROKJ FAN CLUB CHAT ROLL

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP